Tuesday, January 8, 2013

Mursi sokong Assad dibicara



Presiden Syria, Bashar al-Assad (tengah) melambai ke arah penyokongnya selepas berucap menawarkan pelan ke arah menamatkan konflik di Syria di Opera House, Damsyik, kelmarin. - REUTERS
WASHINGTON 7 Jan. - Presiden Mesir, Mohammed Mursi menyokong desakan penduduk Syria supaya Presiden negara itu, Bashar al-Assad dibicarakan atas kesalahan jenayah perang dan menjangkakan pemerintahan Assad akan berakhir tidak lama lagi.
Dalam wawancara yang disiarkan menerusi CNN, Mursi berkata, rakyat Syria akan berubah ke satu tahap baharu selepas konflik di negara itu berakhir, yang membolehkan mereka memiliki Parlimen sendiri dan bebas menentukan kerajaan yang diingini.
"Rakyat Syria akan menentukan sendiri apa yang mereka mahu lakukan terhadap pihak yang terlibat dengan jenayah tersebut. Semua itu bergantung kepada rakyat negara itu," kata beliau semalam.
Mursi berkata demikian melalui jurubahasa, selepas ditanya sama ada beliau bersetuju Assad patut dibicarakan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa atau tidak.
"Fasa ini merupakan fasa milik rakyat. Sama seperti apa yang dimahukan rakyat Mesir, rakyat Syria juga mahukannya. Kami menyokong rakyat Syria dan mereka akan menang serta mempunyai harapan untuk menang," kata beliau.
Beberapa hari lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa, perang saudara yang tercetus di Syria sejak 21 bulan lalu telah mengorbankan lebih 60,000 nyawa.
Awal pagi semalam, Assad, muncul buat kali pertama di khalayak awam sejak tujuh bulan lalu di Damsyik, dengan menawarkan pelan ke arah menamatkan konflik di Syria serta menggelar pembangkang sebagai hamba Barat.
Antara langkah yang terkandung di dalam pelan tersebut, Assad mendesak kuasa luar agar berhenti menyokong pemberontak di Syria yang berusaha menggulingkan pemerintahannya.
Selepas kuasa luar tidak mencampuri urusan negara itu, beliau berkata, pihaknya akan melaksanakan gencatan senjata.
Di Washington, Jabatan Negara Amerika Syarikat menggelar usaha tersebut sebagai 'serpihan realiti' dan kembali mendesak Assad meletak jawatan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130108/lu_05/Mursi-sokong-Assad-dibicara#ixzz2HOY3URdw
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment