Tuesday, January 8, 2013

Skuad Densus 88 Indonesia dikecam



JAKARTA 7 Jan. - Polis antikeganasan Indonesia, Densus 88 menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa pasukan itu tidak cuba menangkap suspek militan hidup-hidup ekoran kes tujuh orang yang disyaki pengganas ditembak mati oleh skuad khas itu, baru-baru ini.
Jurucakap polis Indonesia, Brigedier Jeneral Boy Rafli Amar berkata, tiada tembakan dilepaskan ke arah anggota keselamatan ketika tiga serbuan dilakukan pada Jumaat dan Sabtu lalu di timur Indonesia untuk memburu kesemua suspek pengganas.
Namun, jelasnya, seorang daripada suspek di satu lokasi serbuan itu telah bersedia untuk meletupkan bahan letupan yang dipasang.
Katanya, pasukan Densus 88 mengikuti prosedur yang betul kerana tindakan suspek tersebut boleh membahayakan nyawa anggota skuad khas berkenaan.
"Mereka (suspek militan) berbeza dengan penjenayah biasa dan kami tidak boleh mengambil risiko kerana mereka tidak akan menunjukkan sifat belas kasihan untuk membunuh anggota keselamatan," jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Kes Kehilangan Orang dan Mangsa Keganasan, Haris Azhar berkata, tindakan polis anti keganasan menembak mati kesemua suspek pengganas terbabit dilihat sebagai 'pembunuhan yang menyalahi undang-undang' dan menggesa agar satu siasatan bebas dijalankan.
Katanya, skuad taktik Densus 88 itu sebenarnya mendorong lebih banyak aktiviti pengganas kerana sesetengah pihak merasakan diri mereka tidak selamat dan terancam.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap kemerosotan simpati orang ramai terhadap polis yang sering menggunakan tindakan kekerasan dalam setiap tindakan mereka.
"Malah sebelum ini, ada beberapa suspek militan ditembak mati di hadapan anak-anak mereka.
"Tindakan ganas Densus 88 tidak pernah dipertikaikan dan ia boleh mendorong lebih banyak berlakunya aktiviti keganasan," jelasnya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130108/lu_07/Skuad-Densus-88-Indonesia-dikecam#ixzz2HOWim9uf
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment