Thursday, February 14, 2013

16 pejuang pemisah terbunuh


Bangkok: Enam belas pejuang pemisah selatan Thai terbunuh selepas mereka melancarkan serangan terhadap sebuah pangkalan tentera di Narathiwat, awal pagi semalam.

Anggota marin Thai di pangkalan di daerah Bacho itu yang sudah bersiap sedia menanti serangan berkenaan selepas menerima maklumat mengenai rancangan itu, melepaskan tembakan apabila kira-kira 60 pemisah berpakaian seragam tentera menghampirinya kira-kira jam 1 pagi, kata jurucakap Markas Operasi Keselamatan Dalam Negeri, Pramote Phromin.


Komander unit, Kapten Somkiat Philprayoon berkata, kira-kira 100 anggota pemisah terbabit dalam serangan itu.

“Enam belas pemisah disahkan mati selepas serangan berkenaan. Mereka berpakaian tentera dan bersenjatakan raifal AK47 dan M16,” katanya.


Somkiat juga memberitahu wartawan, tidak ada anggota tentera Thai yang cedera dalam pertempuran selama 20 minit itu. Kira-kira 100 tentera dan polis kini melancarkan gerakan memburu baki pemisah yang melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran, sebahagiannya meninggalkan kesan darah. Gerakan memburu itu turut dilakukan di hospital dan klinik sekitar bagi mengesan penyerang yang cedera.


Keganasan di selatan Thai membabitkan wilayah Narathiwat, Pattani dan Yala yang majoriti penduduknya keturunan Melayu dan beragama Islam mula meletus sejak awal 2004 selepas sebahagian penduduknya bangun memberontak menuntut pemisahan setelah ditindas puluhan tahun oleh kerajaan Thai.

Lebih 5,300 orang terbunuh sepanjang tempoh itu.


“Kami mendapat tahu mengenai rancangan mereka daripada anggota pemisah yang berpaling tadah. Kami berjaya mempertahankan kem itu dan semua anggota kami selamat,” kata Pramote.

Menurutnya, pemimpin kanan pemisah itu yang lengkap dengan pakaian kalis peluru, Maroso Jantarawadee, adalah antara yang terbunuh.


Pemerintah Tentera Serantau, Leftenan Jeneral Udomchai Thammasaroraj memberitahu wartawan, pihaknya mengisytiharkan perintah berkurung di kawasan sekitar lima kilometer dari pangkalan itu bermula malam tadi hingga esok.


Kejadian semalam adalah yang paling buruk menimpa kumpulan pejuang itu sejak lebih 100 orang mati dalam sehari kira-kira sedekad lalu, termasuk 32 yang mati ditembak di Masjid Kreu-Sae di Pattani. Kejadian semalam juga berlaku sehari selepas Yingluck Shinawatra berkata kerajaannya akan menentukan Jumaat ini sama ada akan menguatkuasakan perintah berkurung di ketiga-tiga wilayah terbabit bagi mengekang keganasan yang berlaku hampir setiap hari. - Agensi

No comments:

Post a Comment