Sunday, February 10, 2013

India gantung militan atur serangan Parlimen



 
Seorang daripada penunjuk perasaan membawa sepanduk mengecam hukuman mati terhadap Afzal Guru. - Foto REUTERS
Seorang daripada penunjuk perasaan membawa sepanduk mengecam hukuman mati terhadap Afzal Guru. - Foto REUTERS
New Delhi: Seorang lelaki Kashmir yang didapati bersalah terbabit dalam serangan terhadap Parlimen India pada 2001 dihukum gantung semalam selepas rayuan terakhirnya supaya diberi pengampunan, ditolak.

Setiausaha Dalam Negeri, R K Singh memberitahu wartawan, Mohammed Afzal Guru dihukum gantung awal semalam di penjara Tihar, New Delhi.
“Proses undang-undang sudah dilaksanakan,” kata Singh. Guru dikebumikan di satu kawasan penjara berkenaan mengikut cara Islam, lapor Press Trust of India (PTI). Guru sejak awal perbicaraan menafikan terbabit dalam serangan itu dan beberapa kumpulan hak asasi manusia di seluruh India serta pergerakan politik di Kashmir menuduh dia tidak dibicarakan secara adil.


Keluarga tuntut jenazah

Keluarganya di negeri Jammu-Kashmir menuntut jenazahnya tetapi perkara itu dianggap tidak akan berlaku kerana kesnya adalah sensitif.

Guru yang pernah menjadi penjual buah, menunggu hukuman mati dijalankan selepas diumumkan bersalah pada 2002.
Rayuan supaya hukuman lebih ringan dikenakan ditolak sejak itu dan hukuman ditetapkan pada 2006.

Tetapi, hukumannya ditangguhkan selepas isterinya mengemukakan permohonan mendapatkan pengampunan daripada Presiden India yang ditolak awal minggu ini.
Berita mengenai hukuman itu mencetuskan bantahan di Kashmir hingga menyaksikan penunjuk perasaan bergaduh dengan polis dan unit separa tentera.

Empat penunjuk perasaan cedera, seorang daripada mereka tenat, kata pegawai polis.

Di Muzaffarabad, 400 penunjuk perasaan berhimpun dan membakar bendera India selain melaungkan slogan ‘benamkan India, demokrasi India palsu’ dan ‘kami akan terus lakukan misi Guru.’ - AP/AFP

No comments:

Post a Comment