Sunday, February 10, 2013

Kerajaan Syria sedia berunding



Penyokong kumpulan pemberontak al-Nusra mengibarkan sepanduk semasa mengadakan demonstrasi selepas solat Jumaat di daerah al-Qasr Bustan di bandar Aleppo, kelmarin. - AFP
BEIRUT 9 Feb. - Kerajaan Syria dilaporkan bersedia mengadakan rundingan dengan pemberontak, tanpa sebarang syarat, kata Menteri Penerangan, Omrane al-Zohbi, semalam.
Ia sebagai reaksi kepada pelawaan ketua pembangkang Syria, Mouaz Al-Khatib pada 1 Februari lalu supaya kedua-dua pihak berunding bagi menamatkan konflik di negara ini.
"Pintu (rundingan) kini terbuka dan kami mengalu-alukan rakyat Syria yang mahu mengadakan rundingan dengan kami," katanya seperti yang disiarkan oleh televisyen tempatan.
Sementara itu, kumpulan pemberontak al-Nusra membunuh tujuh askar Syria berdekatan pusat kawalan tentera di bandar utara Safireh, semalam, selepas kumpulan itu mendakwa lebih 100 anggotanya terbunuh dalam pertempuran selama 72 jam dengan tentera Presiden Bashar al-Assad sejak Rabu lalu.
Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia berkata, pusat kawalan tersebut berfungsi mengawal laluan ke kilang tentera di selatan bandar itu.
"Sekurang-kurangnya 112 pemberontak terbunuh sejak Rabu lalu dalam pertempuran dengan tentera kerajaan antara Safireh dan bandar Khanasir, kira-kira 40 kilometer ke selatan," kata pengarah pertubuhan itu, Rami Abdel Rahman.
Di Washington, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry, semalam berkata, AS sedang mencari jalan bagi menamatkan konflik di Syria, berikutan keputusan White House tidak akan membekalkan senjata kepada pemberontak Syria.
Ia dilihat sebagai keputusan muktamad Presiden AS, Barack Obama semasa penggal pertama pentadbirannya, walaupun beberapa pegawai tertinggi AS mendesak lebih banyak tindakan keras dilakukan di Syria bagi memastikan kesaksamaan pemberontak dalam berdepan tentera kerajaan.
Kerry yang bercakap untuk kali pertama pada sidang media sejak memegang jawatan itu lebih seminggu lalu berkata, besar kemungkinan AS akan menimbang semula keputusan itu, berikutan konflik yang tidak menunjukkan tanda-tanda akan tamat sejak tercetus lebih 22 bulan lalu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130210/lu_02/Kerajaan-Syria-sedia-berunding#ixzz2KRxiSEO6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment