JEMBER, Jawa Timur - Derita seorang kanak-kanak di sini yang tidak mempunyai tulang leher masih berlarutan sejak beberapa tahun lalu memandangkan tiada pihak berwajib tampil untuk membantu meringankan penderitaan yang dialami kanak-kanak itu.
Malah beban ibu bapa kanak-kanak malang tersebut, Bambang Herwantoro, 33, dan Hendita Novianti, 29, semakin bertambah apabila mendapati nama anak mereka, Ricky Lilian Putra Dwi Herlambang tidak tersenarai dalam sistem Jaminan Kesihatan Masyarakat (Jamkesmas).
Hal itu menyebabkan Ricky tidak menerima bantuan ubat-ubatan sejak lebih setahun lalu, selepas kanak-kanak berusia empat tahun berkenaan disahkan menderita penyakit kuman tuberkulosis tulang.
Akibat penyakit tersebut, Ricky kehilangan tulang lehernya, menyebabkan dia tidak mampu duduk, berjalan, bercakap dan menyandar kepalanya.
Ibunya, Hendita berkata, anaknya pada awalnya dilahirkan dalam keadaan normal dan tiada tanda-tanda dia diserang kuman tersebut.
"Namun anak saya tiba-tiba tidak sedarkan diri selama sehari beberapa tahun lalu.
"Doktor memaklumkan kepada kami, Ricky diserang kuman tulang dan kami telah menghabiskan wang sebanyak 2.5 juta rupiah (RM794) untuk merawatnya," katanya tribunnews.com.
Menurut Hendita, dia dan suami terpaksa menggadaikan set televisyen dan beberapa peralatan rumah semata-mata mahu memastikan anak kesayangannya itu dapat diubati.
"Saya berharap Jamkesmas dapat menghulurkan bantuan kepada Ricky untuk meringankan beban yang ditanggung kami sekeluarga," ujarnya. - AGENSI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130209/lu_10/Kanak-kanak-tiada-tulang-leher#ixzz2KQ3ht2Pj
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment