Sunday, February 10, 2013

Rohingya perlukan ubat-ubatan



YANGON 7 Feb. - Agensi bantuan ubat-ubatan, Doktor Tanpa Sempadan (MSF), memberi amaran tentang ‘krisis kemanusiaan’ di negeri bergolak di barat Myanmar apabila berpuluh-puluh ribu orang tidak mendapat rawatan yang amat diperlukan.
Agensi bantuan itu berkata, pasukannya yang kini berada di negeri Rakhine berdepan dengan ancaman, penentangan dan tuduhan berat sebelah terhadap kumpulan minoriti Islam Rohingya.
Penduduk yang melarikan diri dan tinggal di dalam khemah-khemah sementara di Rakhine, terputus bantuan ubat-ubatan, air bersih dan keperluan asas lain, menurut kumpulan kemanusiaan yang telah berkhidmat lebih dua dekad di kawasan itu.
“Mereka adalah yang tinggal di sawah padi atau di kawasan genting yang sesak dan amat memerlukan bantuan ubat-ubatan.
“Situasi tidak selamat yang berterusan dan ancaman kumpulan kecil tetapi berpengaruh daripada komuniti Rakhine, memberi kesan teruk kepada keupayaan kami untuk menghantar ubat-ubatan yang boleh menyelamatkan nyawa," kata Ketua Pengarah MSF, Arjan Hehenkamp di dalam satu kenyataan hari ini.
Lebih 100,000 orang yang kebanyakannya etnik Rohingya, kehilangan tempat tinggal dan berpuluh-puluh lagi maut sejak tercetusnya keganasan etnik di negeri Rakhine pada Jun 2012.
Menurut MSF, beberapa wanita mengandung terpaksa bersalin di khemah yang berlumpur tanpa bantuan doktor, manakala tinjauan pula mendedahkan kanak-kanak berdepan dengan masalah kekurangan nutrien.
“Jangkitan kulit, penyakit cacing, batuk kronik dan cirit-birit adalah antara penyakit biasa yang dihadapi oleh mereka," ujar MSF. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130208/lu_05/Rohingya-perlukan-ubat-ubatan#ixzz2KQ8xxyTB
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment