Sunday, February 10, 2013

Julian Assange dorong pegawai Amerika bocorkan rahsia



LOS ANGELES 9 Feb. - Pengasas WikiLeaks, Julian Assange (gambar) menggesa pegawai-pegawai Amerika Syarikat (AS) supaya membocorkan dokumen-dokumen rahsia berhubung serangan drone AS, dengan menganggap serangan tersebut sebagai keruntuhan sistem di AS.
Assange telah mencetuskan kemarahan pegawai-pegawai AS kerana menyebarkan beribu-ribu rahsia, menggunakan televisyen untuk mengecam Presiden Barack Obama yang memberi lampu hijau untuk membunuh warga Amerika yang bersubahat dengan al-Qaeda.
"Saya tidak dapat melihat kejatuhan yang lebih besar apabila eksekutif boleh membunuh rakyatnya sendiri sewenang-wenangnya, secara rahsia, tanpa memaklumkan keputusan itu kepada umum,'' kata Assange menerusi program bual bicara Real Time with Bill Maher, yang disiarkan melalui siaran HBO.
"Itu sebabnya, kami mahu organisasi seperti WikiLeaks. Saya menggalakkan sesiapa di White House yang mempunyai akses kepada peraturan dan prosedur, dan membantu kami. Kami akan merahsiakan identiti anda dan mendedahkan maklumat itu kepada umum,'' katanya.
Assange memberitahu pengacara program itu, Bill Maher yang merupakan penyokong WikiLeaks menerusi pautan video dari Kedutaan Ecuador di London, di mana beliau bersembunyi sejak Jun lalu bagi mengelak diekstradisi ke Sweden.
Pihak berkuasa Sweden berkata, mereka mahu menyoal siasat Assange atas dakwaan jenayah seks.
Bradley Manning, seorang perisik muda tentera di Iraq, ditahan pada Mei 2010 kerana dipercayai menyerahkan surat-surat diplomatik dan data lain ke laman web itu. Dia berdepan hukuman penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan oleh tribunal tentera.
NBC News menerbitkan dokumen yang tidak diklasifikasikan oleh Jabatan Keadilan minggu ini menunjukkan pegawai kanan al-Qaeda boleh dibunuh, walaupun mereka adalah warga Amerika Syarikat.
Kumpulan hak asasi manusia menyuarakan kemarahan mereka pada September 2011 apabila serangan drone AS di Yemen membunuh pendakwah Anwar al-Awlaki dan pengarang majalah al-Qaeda, Samir Khan. Kedua-dua mereka adalah warga AS yang tidak pernah didakwa terlibat dengan jenayah. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130210/lu_03/Julian-Assange-dorong-pegawai-Amerika-bocorkan-rahsia#ixzz2KRzAU2wJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment