Sunday, March 31, 2013

5,000 warga Filipina larikan diri



GAMBAR yang dirakam pada 8 Mac lalu menunjukkan sekumpulan warga Filipina menunggu barang masing-masing selepas tiba di bandar Jolo, wilayah Sulu, selatan pulau Mindanao, Filipina. Mereka melarikan diri dari Sabah berikutan pertempuran yang tercetus di antara pengganas Sulu dan pihak berkuasa Malaysia.


MANILA - Hampir 5,000 warga Filipina telah melarikan diri dari Sabah sejak pasukan keselamatan Malaysia melancarkan serangan ke atas pengganas Sulu yang diketuai oleh Jamalul Kiram III, jelas Lembaga Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan Filipina semalam.
Agensi itu menyatakan telah merekod ketibaan 4,983 individu dewasa dan kanak-kanak di gugusan kepulauan selatan negara tersebut.
Pengarah eksekutif yang bertanggungjawab menjaga kebajikan pelarian itu, Paslur Abdullah memberitahu jumlah keseluruhan mungkin jauh lebih tinggi kerana ada yang tidak mendaftar.
"Mereka tiba dengan menaiki bot-bot kecil. Kebanyakannya masuk ke sini tanpa mendaftar dan tinggal bersama saudara-mara masing-masing. Kami tidak boleh menahan mereka," kata Abdullah.
Kira-kira 200 orang pengikut Kiram dengan sebahagian daripada mereka bersenjata tiba di Lahad Datu, Sabah pada Februari untuk menuntut Sabah daripada kerajaan Malaysia.
Pertempuran di antara kedua-dua belah pihak telah mengakibatkan lebih 60 pengganas dan sepuluh anggota keselamatan Malaysia terkorban.
Sebelum ini, Presiden Filipina, Benigno Aquino menyatakan kebimbangan ketegangan itu boleh menjejaskan ratusan ribu warga Filipina yang bekerja di Sabah.
- AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0331&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2P5TSPGx9 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment