Perjanjian senjata PBB dibantah
Ratusan orang ramai melakukan tunjuk perasaan anti senjata api di luar pejabat PBB di New York.
NEW YORK - Perjanjian perdagangan senjata antarabangsa membabitkan 193 negara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapat bantahan daripada Syria, Iran dan Korea Utara.

Mesyuarat dipengerusikan oleh Duta Australia itu pada mulanya tertangguh apabila delegasi daripada ketiga-tiga negara tersebut enggan menyertai mesyuarat itu dengan bertindak keluar dewan.

Bagaimanapun, mesyuarat tersebut diteruskan semula selepas beliau menegaskan mesyuarat itu adalah untuk mencari perincian bagi membincangkan draf perjanjian pertama dan bukannya untuk dimuktamadkan.

Duta PBB Iran, Mohammad Khazaee berkata, draf perjanjian itu mempunyai kelemahan dan mendakwa perjanjian jual beli senjata di peringkat global telah dipolitikkan hingga menyebabkan negara pengeluar utama senjata didiskriminasikan oleh PBB.

“Permintaan senjata daripada penceroboh biasanya mendapat sokongan daripada PBB tetapi permintaan daripada mangsa penceroboh selalu di pertikaian. Perjanjian itu ternyata tidak berlaku adil,” katanya dipetik dari AP.

Sementara itu, Mexico mencadangkan mesyuarat diteruskan untuk menerima pakai perjanjian berkenaan meskipun tanpa sokongan tiga negara berkenaan kerana berpendapat ia sudah memadai jika mendapat persetujuan majoriti.

Saranan itu mendapat sokongan sebulat suara daripada negara lain.

Delegasi PBB kemudian meneruskan sesi perdebatan usul berkenaan sama ada ia perlu dilaksanakan atau dimansuhkan. - AP