Saturday, April 6, 2013

Anwar sah tanding di Permatang Pauh

Anwar sah tanding di Permatang Pauh
Anwar Ibrahim
 Bukit Mertajam: Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi mengesahkan beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

Pengumuman berkenaan yang dibuat ketika berceramah di Padang Awam Taman Pauh, dekat sini, membuktikan ketua pembangkang itu kuat berdolak-dalik selepas sebelum ini beria-ia mahu bertanding di Perak.
Anwar sebaliknya mengumumkan Ketua Srikandi PKR, Siti Aishah Shaik Ismail sebagai calon pakatan pembangkang bagi kerusi Parlimen Tambun yang sebelum ini dikatakan antara kerusi sasaran Penasihat PKR itu.


Beliau memberikan alasan keputusan untuk kekal bertanding di Permatang Pauh adalah kerana mahu bersama pengundi dan penyokong setianya di kawasan berkenaan.

Sukar tinggal penyokong 

“Walaupun saya berhasrat bertanding di Tambun atas pertimbangan untuk meningkatkan sokongan kepada pakatan pembangkang di negeri itu, sukar bagi saya meninggalkan penduduk di Permatang Pauh kerana mereka terlalu banyak berjasa kepada saya.

“Jadi hari ini, saya nak jelaskan supaya tidak lagi timbul spekulasi. Insya-Allah saya akan mempertahankan kerusi ini (Permatang Pauh) pada pilihan raya kali ini,” katanya.
Anwar yang turut memaklumkan beliau tidak akan dapat meluangkan banyak masa di Permatang Pauh sepanjang kempen PRU-13 kerana terpaksa mengelilingi seluruh negara, berkata sejak mengumumkan hasratnya bertanding di Perak, Selasa lalu, ramai ahli PKR Permatang Pauh kecewa sehingga ada bilik gerakan menurunkan bendera parti.

Terdahulu pada majlis berasingan di Kubang Semang, Penasihat PKR itu berkata, beliau dalam dilema, sama ada terus bersama pengundi setianya di Permatang Pauh atau mencari kawasan baru di Perak selepas pakatan pembangkang hanya mampu menang tiga kerusi Parlimen, iaitu Parit Buntar, Bagan Serai dan Gopeng pada PRU lalu.

Strategi politik

Katanya, pilihan bertanding di Perak adalah strategi politik untuk meningkatkan sokongan rakyat dan seterusnya memperkukuhkan kedudukan pakatan pembangkang di negeri berkenaan dengan sasaran memenangi lima kerusi Parlimen baru di sana.

Anwar adalah Ahli Parlimen Permatang Pauh dari 1982 apabila beliau menyertai UMNO sebelum kerusi berkenaan diambil alih isterinya pada 1999. Ketua pembangkang itu kemudian bertanding semula dan menang kerusi sama pada pilihan raya kecil 2008 selepas Dr Wan Azizah mengosongkan kerusi itu.

No comments:

Post a Comment