Tian Chua
Tian Chua
PETALING JAYA - Pakatan Rakyat (PR) mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan pendiriannya sama ada Kerajaan Negeri Sabah ataupun Sarawak masih mempunyai kuasa untuk menghalang ahli-ahli politik dari Semenanjung berkempen di kedua-dua negeri tersebut selepas pembubaran Parlimen dan Dun.

Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, SPR harus membuat pendirian untuk menjelaskan sama ada kerajaan sementara di Sabah dan Sarawak masih mempunyai hak untuk mempengaruhi ketelusan mana-mana pihak.

"Langkah SPR itu kelak akan dapat memastikan suruhanjaya tersebut mampu melaksanakan pilihan raya yang adil dan bebas menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 ini.

"Kalau tidak, kita akan melihat pada masa akan datang, kerajaan negeri di Sabah dan Sarawak akan menggunakan kuasa ini secara terus untuk menyekat ketelusan dan keadilan dalam kempen pilihan raya," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, hari ini.

Tian Chua yang juga Ahli Parlimen Batu berkata demikian susulan tindakan menghalang beliau daripada masuk ke Sabah oleh penguat kuasa imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, semalam.

Beliau yang tiba di Kota Kinabalu pada jam 11.05 pagi itu kemudiannya terus dinaikkan pesawat sama untuk dihantar pulang ke Kuala Lumpur tanpa sebarang sebab.