Kim Jong-un
.
Kim Jong-un
Kim Jong-un dan isteri.
Hampir sebahagian daripada kisah kehidupan awal pemimpin Korea Utara ini tidak diketahui oleh media Barat.

Kim Jong-un ialah anak kepada Ko Young-hee, seorang penyanyi opera dan bekas pemimpin Kim Jong-il yang mengamalkan pemerintahan bercorak ketenteraan selama lebih sedekad sehingga beliau meninggal dunia pada 17 Disember 2011.

Jong-un yang juga anak bongsu daripada tiga beradik ini turut dianggap sebagai pewaris ketiga dinasti 'Kim' paling layak menggantikan bapanya.

Sejak akhir-akhir ini, kredibiliti Jong-un sebagai pemimpin terus dipersoalkan, susulan daripada tindakan beliau mengeluarkan kenyataan dan ancaman berbentuk provokasi yang menyasarkan Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan.


Tahun lahir cetus tanda tanya

Tarikh lahir sebenar dan kehidupan zaman kanak-kanak Jong-un juga masih menjadi tanda tanya banyak pihak kerana tiada biografi rasmi Jong-un diterbitkan hingga kini.

Kebanyakan maklumat mengenai beliau hanya diperoleh melalui pendedahan pembelot dan individu yang pernah melihat beliau di beberapa negara termasuk Switzerland.

Bagaimanapun, beberapa fakta juga dikatakan bercanggah terutama sekali melibatkan tahun kelahiran sebenar Jong-un, kerana pihak berkuasa Pyongyang menyatakan beliau lahir pada 8 Januari 1982.

Tetapi spekulasi pihak luar pula mendakwa pemimpin itu dilahirkan pada 1983 atau awal 1984.

Berdasarkan laporan pertama diterbitkan akhbar Jepun, Jong-un mendapat pendidikan awal di sebuah sekolah antarabangsa di Bern, Switzerland dari 1993 hingga 1998.

Dari 1998 hingga 2000, beliau memasuki sebuah sekolah swasta di Koniz dan ketika itu beliau hanya dikenali sebagai anak kepada kakitangan di Kedutaan Korea Utara.

Jong-un, akhirnya melanjutkan pelajaran di Universiti Tentera Kim Il-sung di Pyongyang dari 2002 hingga 2007.


Pengganti Jong-il

Sejak awal 2009,  Jong-il menamakan putera bongsunya sebagai pewaris beliau.

Bagaimanapun, pemilihan Jong-un dipertikaikan banyak pihak kerana mendakwa beliau terlalu muda untuk memegang jawatan itu.

Anak sulungnya, Jong-nam tidak lagi mendapat kepercayaan Jong-il selepas dia ditangkap cuba menyelinap keluar dari Korea Selatan ke Jepun secara tidak sah dengan menggunakan pasport palsu semata-mata untuk melancong.

Berdasarkan tradisi keluarga mereka, kesalahan Jong-nam itu dianggap melanggar polisi ditetapkan mendiang datuknya, Kim Il-sung.

Jong-il juga tidak yakin dengan kemampuan dengan anak keduanya, Jong-chui kerana beliau didakwa tidak begitu tegas dan berani.

Pada September 2010, Jong-un dinaikkan pangkat sebagai jeneral dalam Tentera Rakyat Korea oleh bapanya.

Dua minggu selepas pemergian bapanya, beliau dilantik secara rasmi sebagai Pemimpin Agung pada 30 Disember 2011.

Beliau turut dikurniakan gelaran Marsyal (Komander Tertinggi Tentera Rakyat Korea) yang sebelum ini dipegang mendiang bapanya pada 18 Julai lalu.


Serangan provokasi meningkat

Semasa musim panas tahun lalu, media mendedahkan Jong-un telah berkahwin dengan Ri Sol-ju, namun tarikh perkahwinan sebenar mereka tidak diketahui.

Beberapa bulan selepas pendedahan tersebut, beliau bersama isterinya sering tampil di media.

Sejak menerajui pucuk pimpinan Korea Utara, Jong-un berikrar untuk lebih menumpukan pembaharuan dalam sektor ekonomi dan pendidikan, termasuk program yang membenarkan penduduk negara itu bekerja di China.

Di bawah pemerintahannya juga, Pyongyang dilaporkan terus menjalankan program ujian nuklear dan pelancaran roket jarak jauh, Unha-3 pada akhir tahun lalu yang turut dikecam negara antarabangsa.

AS percaya negara itu sebenarnya membuat ujian teknologi peluru berpandu balistik hingga menyebabkan Barat mengenakan sekatan ke atas Korea Utara.

Bagaimanapun, Pyongyang terus melakukan ujian nuklear ketiga mereka dan insiden tersebut telah menjadi titik tolak kepada peningkatan serangan provokasi ke atas AS dan Seoul sejak bulan lalu.


Didakwa buat enam pembedahan plastik

Sebuah stesen TV di China mendakwa Jong-un menjalani enam pembedahan plastik untuk kelihatan seperti mendiang datuknya, Il-sung.

Dakwaan itu disahkan beberapa pihak dan ia terus tersebar dengan cepat di organisasi media Korea Selatan walaupun tiada bukti kukuh.
Susulan daripada insiden itu, media di China diarahkan untuk menghentikan segala laporan, komen atau cerita berbaur peribadi melibatkan Jong-un.


Trivia
  • Jong-un digambarkan sebagai pemalu, seorang pelajar yang baik dan tidak menghiraukan isu politik.

  • Merupakan peminat sukan bola keranjang dan menjadikan Michael Jordan sebagai idola.

  • Mendapat pendidikan awal di Barat.

  • Mempunyai koleksi kasut sukan Nike.

  • Mengenakan potongan rambut yang pelik.

  • Gemar menyanyi dan menari.

  • Pernah mengalami masalah kegemukan selepas ibunya meninggal dunia pada 2004 akibat barah.

  • Berat Jong-un dikatakan pernah mencecah hampir 90 kilogram.

  • Media di Pyongyang menggelar beliau sebagai Komander paling Hebat.

  • Bekas bintang NBA, Dennis Rodman melabel beliau sebagai lelaki hebat selepas mereka bertemu pada 26 Februari lalu.

  • Jarang dilihat di khalayak umum sebelum menggantikan bapanya.
  • Pada 14 Mac lalu, sumber risikan Korea Selatan mendakwa Jong-un pernah menjadi sasaran pembunuh upahan.