DAMSYIK - Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) mendedahkan telah kehabisan sumber kewangan bagi menampung penduduk Syria termasuk pelarian krisis penggulingan kerajaan Presiden Bashar al-Assad yang berlindung di negara jiran.

Dipetik Al-Jazeera, pertubuhan itu kini mengalami kekurangan dana sejak Jun lalu selepas membuka operasi dalam Jordan membabitkan sumber bekalan air bersih dan bantuan kesihatan kepada lebih 100,000 pelarian di kem Zaatari.

Jurucakap Unicef, Marixie Mercado berkata, hanya kira-kira 29 peratus dana berbentuk wang diterima berbanding jumlah permintaan yang melambung tinggi di kem pelarian Jordan.

"Penghuni kem Zaatari kini terpaksa menggunakan sumber air kotor dan kemudahan asas yang tidak bersih. Malah ramai antara mereka menghidapi penyakit kulit, cirit-birit yang teruk di kalangan kanak-kanak," kata Mercado.

Katanya, kebimbangan mereka bertambah apabila menjangkakan jumlah pelarian Syria bakal meningkat melebihi 1.2 juta pada penghujung tahun ini.

Setakat ini, lebih 70,000 penduduk Syria dilaporkan terkorban sejak tercetusnya konflik berdarah pada Mac 2011.