Monday, May 13, 2013

80 pencari suaka ditahan di Bali




SEBAHAGIAN pencari suaka politik duduk di dalam sebuah bot kayu selepas mereka ditahan polis marin di Pelabuhan Benoa, Bali semalam.


DENPASAR, Bali - Polis Indonesia di sini mendedahkan kejayaannya memintas sebuah bot kayu yang membawa seramai 80 orang pencari suaka politik dari Asia Barat.
Kumpulan pencari suaka itu dipercayai menuju ke Australia dari Pulau Bali.
Ketua Polis Marin, Tubuh Musyareh berkata, pasukan polis marin memintas bot tersebut yang turut membawa kanak-kanak dan wanita di luar perairan Pelabuhan Benoa.
Menurutnya, pasukan rondaan marin mengesan bot tersebut selepas ia belayar di laluan yang digunakan bot-bot nelayan.
"Kami meminta beberapa dokumen tetapi kapten bot tersebut tidak dapat menunjukkan dokumen yang diminta," katanya.
Tubuh berkata, anggota-anggota polis kemudian memeriksa bot berkenaan dan menemui kumpulan pencari suaka itu yang bersembunyi di dalam bot tersebut.
Polis kemudian menangkap kapten dan seorang kru bot tersebut yang kemudian ditarik ke pelabuhan itu.
"Hanya 20 orang pencari suaka itu yang keluar dari bot itu.
"Baki yang lain enggan keluar dari bot tersebut kerana mereka menegaskan akan pergi ke Australia.
"Kami percaya, mereka datang dari Afghanistan dan Turki.
"Kami masih berunding dengan mereka," tambahnya.
Tubuh berkata, kumpulan pencari suaka itu telah berada di Bali selama dua minggu.
Indonesia merupakan tempat transit untuk para pencari suaka menuju ke Pulau Christmas, Australia yang berada berdekatan dengan Pulau Jawa.
Kebanyakan pencari suaka itu menaiki bot kayu.
Ratusan pencari suaka itu mati dalam pelayaran menuju ke pulau tersebut. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0513&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm#ixzz2T7Lzl7jn 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment