Sunday, May 19, 2013

888 kontraktor disenaraihitam



Kota Bharu: Sebanyak 888 daripada 8,914 kontraktor yang dilantik Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bagi melaksanakan projek rumah mesra rakyat, disenarai-hitamkan tahun lalu kerana gagal menyiapkan projek mereka.

Pengarah Urusan SPNB, Datuk Dr Kamarul Rashdan Salleh, berkata senario itu membimbangkan jika dibandingkan pada 2011, di mana hanya 120 kontraktor yang disenaraihitamkan.
Jumlah kontraktor yang disenaraihitamkan itu mengecewakan SPNB kerana kebanyakannya membabitkan kontraktor dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutama kontraktor kelas F yang terbabit dalam projek kecil.

Tiada pengalaman

Mereka disenarai hitam kerana tidak mempunyai pengalaman, selain tidak memiliki sumber kewangan yang kukuh sehingga menjejaskan pelaksanaan projek rumah mesra rakyat yang diberikan SPNB kepada mereka, katanya.

Beliau memberitahu pemberita selepas menjadi penyampai tamu pada Siri Syarahan Pengerusi Global anjuran Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini, semalam. Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UMK, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Dr Kamarul Rashdan berkata, SPNB akan berusaha untuk mengatasi keadaan ini kerana bimbang ia akan menjejaskan peluang untuk melahirkan usahawan baru dalam industri pembinaan.
SPNB memberi peluang kepada mereka dengan melanjutkan masa bagi menyelesaikan projek diberikan iaitu seorang kontraktor sebuah rumah, namun sekiranya masih gagal, mereka akan disenaraihitamkan selain didenda.

Bagi membantu kontraktor yang disenaraihitamkan ini, SPNB turut menyediakan peluang kedua kepada mereka iaitu kaedah pemulihan dengan memberi penerangan mengenai projek rumah mesra rakyat selain mengenal pasti masalah dihadapi kontraktor terbabit, katanya.

Siap 20,726 unit rumah

Beliau berkata, sehingga kini, SPNB sudah berjaya menyiapkan 20,726 unit rumah mesra rakyat di seluruh negara, manakala 7,446 unit lagi dijangka siap suku kedua tahun ini.

Di Kelantan saja, sebanyak 1,265 unit sedang dibangunkan dengan 602 unit sudah disiapkan. Kelantan adalah negeri kedua tertinggi dari segi kelulusan permohonan untuk program rumah mesra rakyat ini selepas Terengganu, katanya.

Sehingga kini, SPNB sudah meluluskan 31,311 permohonan bagi perumahan itu membabitkan peruntukan RM2 bilion, dengan Johor menjadi negeri tertinggi membabitkan pembinaan 4,920 unit, diikuti Kelantan 4,813 unit dan Terengganu 4,756 unit.

No comments:

Post a Comment