Pyongyang lancar 3 peluru berpandu
Peluru berpandu Musudan pernah ditunjukkan kepada umum semasa perbarisan tentera di Pyongyang. Foto: AFP
SEOUL - Korea Utara didakwa melancarkan tiga peluru berpandu jarak dekat di Laut Jepun yang didakwa sebagai sebahagian daripada latihan ketenteraan negara itu, menurut Kementerian Pertahanan Seoul, semalam.

"Dua daripada tiga peluru berpandu tersebut dilancarkan secara serentak pada waktu pagi dan misil terakhir beberapa jam selepas itu," jelas jurucakap kementerian terbabit lagi.

Sementara itu, agensi berita Yonhap melaporkan satu analisis terperinci akan dibuat selepas Seoul mendapati peluru berpandu KN-02 itu telah diubah suai daripada misil SS-21 yang digunakan semasa era Soviet berikutan ia mampu mengenai sasaran pada jarak 120 kilometer (km).

Difahamkan, tindakan provokasi itu dibuat susulan daripada latihan ketenteraan bersama disertai Korea Selatan bersama Amerika Syarikat (AS) yang didakwa oleh Pyongyang sebagai 'latihan untuk
berperang'.      

Menurut laporan dipetik AFP, minggu lalu, AS mendakwa dua peluru berpandu jarak sederhana, Musudan telah dipindahkan dari tapak pelancaran.

Peluru berpandu itu dikatakan mampu mengenai sasaran pada jarak 2,500 km hingga 4,000 km (lokasi Seoul dan Jepun) serta berpotensi untuk membedil pangkalan tentera AS di Guam.