Bergelap sejak 20 tahun
Hanya sebatang tiang lampu jalan yang ada di Pekan Pasir Besar iaitu di persimpangan masuk ke Palong, seperti didakwa penduduk.
PASIR BESAR – Rata-rata penduduk dan pengguna jalan raya yang melalui jalan antara Pasir Besar menuju ke Rompin pada waktu malam berhadapan dengan risiko kemalangan memandangkan lokasi berkenaan sangat gelap susulan ketiadaan lampu jalan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati rata-rata pengguna dan penduduk mendakwa hanya terdapat sebatang tiang lampu jalan di kawasan Pekan Pasir Besar iaitu di persimpangan lampu isyarat menuju ke Palong, Jempol.

Penduduk, Anuar Majid, 49, dari Felda Pasir Besar berkata, masalah itu sudah diketengahkan sejak dahulu lagi dan sering dibincangkan dalam mesyuarat di peringkat akar umbi, namun sehingga kini masih tiada.

“Kita harap lokasi ini akan dilimpahi lampu jalan pada waktu malam memandangkan ia sering digunakan sebagai laluan utama pengguna yang ingin menuju ke Johor mahupun Pahang.

“Malah, susulan masalah itu, lokasi ini sering berlaku kemalangan termasuk kemalangan maut,” katanya.

Sinar Harian 1 Februari lalu melaporkan seorang pelajar sekolah, Hazizul Abdul Khalid, 16, maut di tempat kejadian selepas terlibat dalam kemalangan di kilometer 15, Jalan Gemas- Rompin  kira-kira 10.30 malam.

Aiman Basar, 53, pula berkata, dari Taman Pasir Besar berkata, jalan selepas persimpangan lampu isyarat berkenaan agak gelap dan tidak seperti pekan lain yang dilimpahi cahaya lampu.

“Saya dah menetap di sini sejak 20 tahun lalu dan sepanjang tempoh itulah tiada lampu jalan selepas Pekan Pasir Besar menuju ke Rompin," katanya.

Sementara itu, Adun Gemas, Abd Razak Ab Said ketika dihubungi berkata, beliau akan membuat follow-up semula berhubung masalah itu dan berharap rakyat yang mempunyai aduan atau cadangan mengenai keperluan di Dun Gemas dapat menyalurkan kepada pihaknya.

"Diharap rakyat sama-sama memainkan peranan menyalurkan maklumat kepada agensi di peringkat akar umbi dan kita akan membantu membuat semakan dari segi status permohonan dan sokongan," katanya.