Sunday, May 12, 2013

Jakarta setuju hantar pulang pejuang pemisah ke Thailand



Bangkok: Menteri Pertahanan Sukumpol Suwanatat meminta Jakarta menghantar pulang pejuang pemisah wilayah selatan Thailand yang kini berlindung di Indonesia.

Sukumpol berkata, dia mengemukakan permintaan itu ketika bertemu rakan sejawatnya di Indonesia pada mesyuarat menteri pertahanan Asean di Brunei mulai Isnin hingga Rabu lalu.


Katanya, dia memberitahu Purnomo Yusgiantoro bahawa jika Thailand mendapat tahu ada anggota pemisah dari wilayah selatan negara itu bersembunyi di Indonesia, dia akan memaklumkan pihak berkuasa Indonesia agar mereka diekstradisi. Sukumpol berkata, Indonesia sudah bersetuju untuk memberi kerjasama. Mengenai isu pilihan raya di Malaysia, Sukumpol berkata, dia tidak fikir keadaan itu akan menjejaskan rundingan damai antara Majlis Keselamatan Nasional Thailand (NSC) dengan Barisan Revolusi Nasional (BRN).

Menurutnya, Malaysia hanya bertindak sebagai pemudah cara bagi rundingan damai dan menyatakan polisi yang jelas untuk membantu. Sukumpol menegaskan, rundingan memakan masa lebih lama kerana wakil pemisah mengemukakan tuntutan tidak munasabah dan pihak berkuasa Thai bertegas dengan pendirian untuk enggan bertolak ansur dengan tuntutan sedemikian.


Menurutnya, kerajaan melaksanakan penyelesaian terbaik di wilayah selatan dan berharap ada kemajuan di wilayah berkenaan tidak lama lagi. “Lebih ramai anggota polis akan dikerah ke Selatan meningkatkan bilangan pasukan keselamatan sedia ada yang kini berjumlah 1,700 orang,” katanya. - Bangkok Post

No comments:

Post a Comment