Friday, June 14, 2013

Kerajaan Thai hilang sabar


Gambar bertarikh 30 Mei lalu, menunjukkan anggota tentera Thailand memeriksa mayat dipercayai anggota pemisah di dalam sebuah longkang di wilayah Yala, selatan Thai. - Reuters
KUALA LUMPUR 13 Jun - Thailand semakin 'hilang sabar' dengan insiden keganasan yang berterusan di selatan negara itu, yang didakwa didalangi kumpulan pemisah, ketika rundingan damai pusingan ketiga antara kerajaan dan kumpulan pemisah disambung di sini, hari ini.
Ketua Majlis Keselamatan Nasional Thai, Paradorn Pattanatabut berkata, kerajaan memerlukan 'penyelesaian' terhadap keganasan, yang telah meragut lebih 5,500 nyawa sejak sedekad lalu, supaya beliau boleh menjawab pertanyaan rakyat.
"Agenda kami adalah untuk mengurangkan keganasan pada satu jangka waktu atau kawasan. Hari ini kami memerlukan jawapan jelas berhubung fakta-fakta (punca) peningkatan keganasan, baru-baru ini,'' katanya yang mengetuai panel perunding kerajaan, sebelum rundingan itu dimulakan.
Rundingan damai yang bermula sejak 28 Mac lalu itu, setakat ini gagal menamatkan keganasan yang berlaku hampir setiap hari di Yala, Pattani dan Narathiwat, tiga wilayah bersempadan dengan Malaysia itu.
Pihak berkuasa Thai mengemukakan idea untuk menyerahkan kuasa terhad kepada wakil rakyat tempatan bagi menguruskan wilayah yang majoriti penduduknya terdiri daripada penganut Islam.
Bagaimanapun, Paradorn berkata, isu tersebut mungkin tidak dibangkitkan pada rundingan kali ini, yang didominasi isu keganasan berterusan.
Lima kakitangan keselamatan Thai terbunuh dalam serangan dua minggu lalu, yang didakwa oleh kerajaan didalangi puak pemisah yang ingin mengganggu rundingan damai berkenaan.
Walaupun dua pusingan rundingan damai telah diadakan sejak Mac lalu, keganasan yang berlaku meningkatkan persoalan sejauh mana pemimpin pemisah mempunyai kuasa untuk mengawal puak pemisah radikal.
Bagaimanapun, seorang pegawai delegasi Thailand melahirkan keyakinan bahawa mereka adalah 'perwakilan sebenar semua kumpulan di selatan negara itu'.
"Setiap kumpulan pemisah kini bergabung. Mereka berbincang dengan kami,'' kata Timbalan Setiausaha Tetap untuk Pertahanan, Nipat Thonglek. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130614/lu_01/Kerajaan-Thai-hilang-sabar#ixzz2W8ZurmI9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment