Friday, June 14, 2013

Remaja cari ibu kandung

Remaja cari ibu kandungSiti Fatimah (kiri) sentiasa memberi semangat kepada Nur Amira Syafika yang berusaha menjejaki ibu kandungnya.
TUMPAT – “Saya ingin sekali melihat wajah ibu kandung saya yang terpisah sejak 11 tahun lalu,” demikian rintih seorang remaja Nur Amira Syafika Ab Shahrifalaki, 14, yang terpisah dengan ibu kandungnya ketika berumur tiga tahun.

Nur Amira Syafika berkata, dia tidak ingat apa-apa cerita sedih di zaman kanak-kanaknya itu tetapi berdasarkan cerita dari ibu saudaranya, Siti Fatimah Mohd Yusof, 55, ibunya dikenali sebagai Zanariah berasal dari Teluk Intan, Perak.

“Saya ingin jumpa ibu, pertemuan ini amat penting kerana melibatkan masa depan saya,” katanya.

Sementara itu, Siti Fatimah berkata, untuk menjejaki Zanariah  semakin sukar apabila ayah kandung Nur Amira Syafika yang juga adiknya, Shahrifalaki Mohd Yusof, 50, meninggal dunia dua tahun lalu.

“Yang merisaukan saya sekarang ini, Nur Amira Syafika masih belum ada Mykad kerana semua dokumen pengenalan dirinya  dalam simpanan ibunya yang terpisah 11 tahun lalu,” katanya ketika ditemui di tempat anaknya bekerja, restoran di Pasir pekan, di sini.

Katanya, setelah kematian adiknya itu, Nur Amira Syafika dalam jagaannya dan juga adiknya Balqisma, 38, di Kampung Anak Keranji, Slow Machang, Pasir Mas.

“Kami tiada alamat Zanariah kerana dia sering berpindah randah, kami juga tiada gambar Zanariah untuk dijejaki.

“Sebelum ini Zanariah bersama arwah adik saya menetap di Kuala Lumpur, bagaimana pun selepas mereka bercerai, arwah adik saya membawa pulang Nur Amira Syafika ke Pasir Mas,” katanya yang memaklumkan Zanariah isteri ketiga arwah adiknya.

Siti Fatimah berkata, Nur Amira Syafika mempunyai seorang adik lelaki berusia 12 tahun, mungkin dia dijaga oleh Zanariah dan Zanariah pernah menetap di Kampung Anak Keranji diawal perkahwinannya itu sebelum ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, selagi ibu kandung Nur Amira Syafika tidak dapat dijejaki, selagi itulah anak saudaranya itu tidak dapat memohon Mykad.

“Saya risau masa depan Nur Amira Syafika yang kini bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bunut Susu, Pasir Mas kerana tahun depan dia akan menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR),” katanya.

Sesiapa yang mengenali ibu Nur Amira Syafika atau mempunyai maklumat mengenai mereka boleh menghubungi di talian 013-9300230.

No comments:

Post a Comment