Friday, June 14, 2013

Arab Saudi potong kuota jemaah haji Indonesia


Pemandangan dari udara kerja-kerja pembesaran Masjidil Haram di Mekah yang bermula pada tahun lalu. - AGENSI
JAKARTA 12 Jun - Kerajaan Arab Saudi akan memotong kuota jemaah haji Indonesia sebanyak 42,000 orang bagi tahun ini berikutan ruang ibadah yang terhad disebabkan proses pembesaran Masjidil Haram dan Masjid Nabawi di Madinah.
Kouta 42,000 orang itu merupakan potongan sebanyak 20 peratus daripada jumlah 211,000 jemaah Indonesia pada setiap tahun untuk mengerjakan haji.
Duta Besar Arab Saudi ke Indonesia, Musthafa bin Ibrahim al-Mubarak dalam satu kenyataan kepada akhbar Republika berkata, pengurangan kouta berkenaan tidak hanya terhad kepada Indonesia sahaja.
"Ia juga berlaku untuk semua negara. Ia (pemotongan) bersifat umum," katanya seperti dilaporkan akhbar berkenaan.
Penjaga kedua-dua masjid agung itu, kata Musthafa, berpendapat dasar memotong jumlah jemaah haji adalah bagi memastikan kesemua jemaah haji dari seluruh dunia dapat beribadat dengan selesa.
Langkah itu, menurut Musthafa, turut melibatkan kouta jemaah yang ingin mengerjakan umrah.
Kerajaan Arab Saudi juga, katanya, tidak dapat memastikan sampai bila pengurangan kouta berkenaan akan dilaksanakan, kerana kerja-kerja membesarkan kedua-dua masjid itu mengambil masa selama tiga tahun untuk disiapkan, bermula tahun lalu.
Kerajaan Arab Saudi, selama ini menetapkan jumlah jemaah yang dibenarkan mengerjakan rukun Islam kelima itu ditetapkan kepada 1,000 orang bagi setiap 1 juta penduduk Islam di sesebuah negara.
Kerajaan negara itu juga sudah berkali-kali menolak permintaan Indonesia yang meminta tambahan kouta haji bagi penduduk Islam negara ini. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130613/lu_02/Arab-Saudi-potong-kuota-jemaah-haji-Indonesia#ixzz2W8barCdL
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment