DUNIA dikejutkan dengan penggulingan Presiden Mesir, Mohammed Mursi, awal semalam oleh tentera negara itu. Pengumuman tentang peristiwa itu dibuat oleh Panglima Tentera dan Menteri Pertahanan Mesir sendiri, Jeneral Abdel Fattah al-Sisi melalui televisyen.
Rampasan kuasa itu berlaku setahun selepas Mursi dipilih sebagai Presiden Mesir setelah kejatuhan Presiden Hosni Mubarak dalam kebangkitan rakyat pada 2011.
Imam dari Palestin, SHEIKH WALID SALIM sempat ditemu bual bagi mengupas tentang kejatuhan Mursi itu dan masalah yang melanda dunia Arab hari ini.
Ikuti wawancara wartawan Utusan Malaysia, ZIININE ABDESSELAM bersama SHEIKH WALID SALIM ketika beliau melawat pejabat Utusan Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.
UTUSAN: Apa reaksi tuan berhubung rampasan kuasa tentera di Mesir?
SHEIKAH WALID: Saya berasa sedih dan terkejut atas apa yang berlaku di Mesir kerana ia memperlihatkan sebuah lagi negara Islam bergolak dan runtuh.
Rampasan kuasa tidak sepatutnya berlaku di negara itu kerana Mursi merupakan seorang pemimpin yang bagus dan saya percaya beliau mampu membawa Mesir maju ke hadapan.
Mesir mampu menjadi sebuah negara Islam yang boleh dicontohi di bawah Mursi, namun rakyat Mesir menolak Islam dan apa yang berlaku ini amat merugikan.
Mengapa rakyat Mesir menolak kepimpinan Mohammed Mursi?
Rakyat Mesir menolak kepemimpinan Mursi kerana mereka menganggap demokrasi Islam yang dibawa oleh beliau hanya memberi kelebihan buatnya, dan bukan untuk rakyat.
Situasi itu diburukkan lagi dengan pengaruh propaganda negatif oleh negara-negara Barat, media Barat yang sememangnya tidak mahu melihat Islam menguasai negara-negara Islam dan demokrasi subur di bumi Islam.
Barat takut kepada Islam dan demokrasi di negara Islam mampu memimpin dunia pada masa akan datang.
Apakah krisis di Mesir mempunyai pertalian dengan konflik di dunia Arab sekarang?
Pada pandangan saya, konflik di dunia Arab sedikit sebanyak mempengaruhi rakyat Mesir untuk menuntut revolusi yang lebih luas yang disangkakan mampu memajukan negara dan memberi mereka hak yang diingini.
Rakyat Mesir sebenarnya keliru tentang tujuan perjuangan sebenar mereka dan perkara itu jika tidak dibendung yang boleh meruntuhkan negara dan akhirnya bakal membawa kesengsaraan kepada rakyat.
Apakah pandangan tuan tentang masa depan Mesir?
Mesir perlu meneliti setiap aspek yang ada untuk membentuk semula negara itu kerana seperti yang saya katakan tadi, Mesir mampu menjadi negara contoh kepada negara-negara Islam yang lain.
Mesir mampu bangun semula jika rakyatnya bersatu-padu mengukuhkan pentadbiran, ekonomi dan sosial.
Mereka perlu membuka minda tentang masa depan yang terjamin berbanding terlampau terikut-ikut untuk menuntut revolusi seperti negara Arab yang lain.
Adakah Mursi gagal menggalas tanggungjawabnya sebagai Presiden Mesir?
Pada pandangan saya, Mursi tidak gagal dalam perjuangannya kerana beliau berani memperkenalkan konsep demokrasi Islam untuk kepentingan rakyatnya, tetapi majoriti rakyat Mesir menolak Mursi semata-mata kerana mereka menolak Islam.
Percaya atau tidak, negara-negara Barat sebenarnya seronok apabila pentadbiran Mursi digulingkan kerana mereka tidak mahu melihat Mesir membangun sebagai sebuah negara Islam demokrasi.
Hal ini kerana, demokrasi Islam mampu memimpin dunia pada masa akan datang dan Barat tidak mahu perkara itu berlaku.
Jika Mursi diberi sekali lagi peluang untuk mentadbir Mesir, adakah beliau akan berjaya?
Ya, sudah tentu beliau akan berjaya kerana kejatuhan Mursi hari ini bukan disebabkan beliau seorang pemimpin yang teruk, namun disebabkan beliau tidak diberi peluang yang sepatutnya untuk berkhidmat kepada rakyat Mesir.
Rakyat Mesir semakin banyak dipengaruhi agenda negatif Barat yang sememangnya ingin melihat dunia Islam hancur satu demi satu.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130705/lu_08/Kejatuhan-Mursi-merugikan-Mesir#ixzz2Y9jUTpvW
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment