Friday, July 5, 2013

Tentera tahan Mursi


Kaherah: Tentera Mesir semalam menahan presiden pertama negara itu yang dilantik secara demokratik, beberapa jam selepas memaksanya berundur daripada jawatan itu.

Seorang pegawai kanan tentera berkata, penahanan itu dibuat sebagai “langkah pencegahan” dan dibuat selepas tempoh 48 jam diberikan kepada beliau berakhir.


Pengumuman penyingkiran tokoh Islam itu dibuat Menteri Pertahanan Mesir yang juga panglima tentera negara itu, Jen Abdel Fattah al-Sisi, melalui siaran televisyen ke seluruh negara.

Pada masa sama, polis mengepung sejumlah pembantu utama Mohamed Mursi dan beberapa pemimpin Ikhwanul Muslimin.


Waran tangkap juga dikeluarkan untuk kira-kira 300 pemimpin dan pegawai pertubuhan gerakan Islam berpengaruh itu.


Ketua Parti Kebebasan Dan Keadilan, Saad al-Katatni, serta Timbalan Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin, Rashad Bayoumi, adalah antara tokoh yang ditahan dan dipindahkan ke penjara. Sementara itu, ribuan penunjuk perasaan yang berkhemah di jalan raya di Kaherah bersorak sepanjang malam meraikan penyingkiran Mohamed Mursi.

Akhbar yang dikawal kerajaan pula semalam memuji rampasan kuasa tentera itu dan menganggap penyingkiran Mohamed Mursi sebagai revolusi yang “sah.” - AFP

No comments:

Post a Comment