Kaherah: Ketua Hakim Mesir, Adly Mansour, mengangkat sumpah sebagai presiden sementara negara itu semalam, sehari selepas tentera menyingkir dan menahan tokoh yang dipilih rakyat melalui pilihan raya, Mohamed Mursi.
Melalui majlis itu, Adly berikrar untuk mempertahankan sistem republik dan menghormati perlembagaan serta undang-undang, selain menjaga kepentingan rakyat. Majlis itu diadakan di Mahkamah Perlembagaan Agung dan ia disambut dengan tepukan gemuruh. Pada acara itu, Adly turut memuji rakyat Mesir, media, tentera dan polis. “Penghormatan untuk rakyat Mesir kerana memperbetulkan jalan gemilang revolusi ini pada 30 Jun,” katanya merujuk kepada protes yang menyaksikan jutaan orang awam turun ke jalan raya pada hari ulang tahun pertama Mohamed Mursi menjadi presiden. Kata Adly, protes di seluruh dunia “membuktikan kepada dunia” bagaimana kesungguhan rakyat Mesir berdepan dengan kepelbagaian. Ketua hakim berusia 67 tahun itu kemudian memuji tentera kerana “sentiasa menjadi hati nurani rakyat” dan “tidak teragak-agak sedikit pun untuk memenuhi kehendak negara dan orang ramai.” Mengenai media, Adly menganggap ia memiliki “keberanian memimpin rakyat serta membongkar salah laku rejim lama.” Sementara itu, seorang pegawai kanan tentera berkata, pasukan itu sedang menahan Mohamed Mursi. - AFP
No comments:
Post a Comment