Jakarta: Seperti tahun lalu, umat Islam Indonesia tahun ini dijangka memulakan puasa pada hari berlainan tetapi beraya pada hari yang sama.
Keadaan itu itu berlaku kerana kiraan awal yang berbeza untuk menentukan awal bulan takwim Hijriah iaitu terbentuknya anak bulan dan terlihatnya anak bulan.
Pengikut Muhammadiyah, pertubuhan Islam kedua terbesar di Indonesia akan mula berpuasa Selasa ini, kata Pengerusi kumpulan itu, Din Syamsuddin.
“Sesuai dengan pendekatan yang diambil Muhammadiyah dari dulu lagi, maka kita akan mula berpuasa pada 9 Julai,” katanya,
Menurut Din, kumpulan itu menentukan awal Ramadan dengan mengguna pendekatan hisab hakiki peredaran bulan, bumi dan matahari dan hasil musyawarah Majlis Tarjih dan Tajdid Pimpinan Pusatnya.
Berdasarkan ahli falak, katanya, anak bulan Ramadan sudah ada kerana matahari, bumi dan bulan berada pada garis lurus kira-kira jam 2 petang pada 8 Julai.
“Itu tanda menunjukkan bulan Syaaban sudah berakhir. Pada ketika itu, anak bulan sudah wujud ketika matahari terbenam. Maka kita tidak perlu melihat lagi anak bulan,” katanya.
Din juga berkata, Ramadan tahun ini akan berlangsung selama 30 hari. Ini bermakna hari raya puasa akan disambut pada Khamis 8 Ogos.
Sementara itu, Pengerusi Nahdlatul Ulama (NU) Said Aqil Siradj berkata, pertubuhan Islam terbesar di Indonesia itu akan tetap menggunakan cara rukyah, iaitu melihat anak bulan untuk menetapkan tarikh 1 Ramadan.
Bercakap kepada wartawan mengenai perkara itu, beliau turut menyangkal anggapan cara rukyah sudah ketinggalan zaman.
Pegawai NU akan melihat anak bulan pada 8 Julai ini dan jika ia tidak kelihatan, pengikutnya akan berpuasa pada Rabu, 10 Julai.
NU menjangka Ramadan kali ini hanya 29 hari, bermakna Aidilfitri jatuh pada 8 Ogos, hari yang sama ditetapkan oleh Muhammadiyah. - Agensi
No comments:
Post a Comment