Saturday, November 30, 2013

Demonstrasi tetap diteruskan


Sebahagian penunjuk perasaan antikerajaan berehat di pekarangan Ibu Pejabat Tentera Diraja Thailand selepas menyerbu masuk kawasan tersebut di Bangkok, semalam. - REUTERS
BANGKOK 29 Nov. - Penunjuk perasaan Thailand hari ini menyerbu masuk kawasan Ibu Pejabat Tentera Diraja Thailand dan mengepung pejabat parti pemerintah, Parti Pheu Thai, dalam usaha menggulingkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra.
Kira-kira 1,200 penunjuk perasaan memecah pintu pagar ibu pejabat tentera dan cuba menyerbu ke dalam bangunan tersebut, yang terletak bersebelahan ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini.
Ketua penunjuk perasaan tersebut, Amorn Amornrattananont berkata, mereka ingin mengetahui sama ada tentera akan menyebelahi rakyat dan bukan seorang diktator yang merujuk kepada Yingluck.
Jurucakap tentera, Kolonel Sansern Kaewkamnerd berkata, penunjuk perasaan mahu menyerahkan surat kepada ketua tentera.
"Mereka kini berkumpul di pekarangan ibu pejabat tentera, namun tidak masuk ke dalam bangunan.
"Kami akan meminta mereka beredar kerana ini adalah kawasan keselamatan,'' katanya.
Penunjuk perasaan turut berkumpul di luar ibu pejabat Phue Thai di sini, menyebabkan polis antirusuhan yang mengawal bangunan tersebut berada dalam keadaan berjaga-jaga.
Tindakan provokatif terhadap simbol pentadbiran negara itu berlaku sehari selepas penunjuk perasaan memutuskan bekalan elektrik di Ibu Pejabat Polis Kebangsaan dan tidak menghiraukan rayuan Yingluck untuk berhenti mengadakan tunjuk perasaan.
Walaupun demonstrasi terbaharu itu berlangsung secara aman, pergaduhan antara penyokong kerajaan dan anggota parti pembangkang masih berlaku di Pathum Thani semalam, kata polis.
"Dua penyokong antikerajaan cedera ringan, mungkin dipukul dengan batang kayu dalam kejadian itu,'' kata Ketua Polis Wilayah, Mejar Jeneral Smithi Mukdasanit. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131130/lu_06/Demonstrasi-tetap-diteruskan#ixzz2m6CXDYfo
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment