|
BANGKOK - Ribuan para penunjuk perasaan menyerbu ibu pejabat tentera dan mengepung pejabat parti Pheu Thai pimpinan Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra (gambar) di sini semalam.
Tindakan itu dilakukan bagi meningkatkan tekanan supaya Yingluck meletakkan jawatan selepas beliau dianggap menjadi boneka abangnya, Thaksin Shinawatra yang juga bekas perdana menteri Thailand.
Tunjuk perasaan itu bermula sejak Ahad lalu dengan para penunjuk perasaan berhimpun di beberapa buah bangunan kerajaan.
Thaksin disingkirkan dalam satu rampasan kuasa tentera pada tahun 2006 selepas berlakunya tunjuk perasaan yang menentang pentadbirannya yang didakwa dicemari rasuah.
Bekas perdana menteri itu juga kini hidup dalam buangan kerana beliau akan dihukum penjara dua tahun jika pulang ke tanah air ekoran kesalahan rasuah.
Para penunjuk perasaan membuka pagar di pekarangan ibu pejabat tentera Thailand.
Mereka menduduk di atas padang di dalam ibu pejabat tentera itu selama beberapa jam dengan meminta pihak tentera menyokong usaha untuk menggulingkan Yingluck.
"Kami ingin mengetahui sama ada tentera akan berdiri di belakang rakyat," kata seorang pemimpin tunjuk perasaan, Amorn Amornrattananont.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan beberapa jam kemudian, Ketua Tentera Thailand, Prayuth Chan-O-Cha mendesak para pemimpin menghormati proses demokratik di bawah undang-undang negara ini.
"Tolong jangan cuba untuk menjadikan pihak tentera berat sebelah (menyebelahi Yingluck)," katanya.
Beliau juga meminta penduduk kembali bersatu semasa sambutan keputeraan pemerintah Thailand, Bhumibol Adulyadej pada 5 Disember depan. - Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1130&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2m5FjFOO0
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment