Saturday, November 30, 2013

Jepun, Korea Selatan pula bantah tindakan China


Gambar bertarikh 13 Oktober 2011, menunjukkan sebuah pesawat pemantau P-3C milik Jabatan Maritim Jepun, meninjau kawasan Kepulauan Senkaku di Laut China Timur. - AFP
BEIJING 28 Nov. - Jepun dan Korea Selatan hari ini menegaskan, pihaknya tidak akan mengiktiraf zon pertahanan udara diumumkan China, selepas dua buah pesawat milik Amerika Syarikat (AS) kelmarin melakukan penerbangan di ruang udara tersebut.
China ketika ini berhadapan dengan banyak tekanan daripada pelbagai pihak, ekoran tindakan mereka memperkenalkan Zon Pengenalan Pertahanan Udara (ADIZ), yang diumumkan minggu lalu.
Langkah itu mencetuskan kemarahan AS dan Jepun, sekali gus menuduh tindakan tersebut merupakan satu provokasi yang mengancam keselamatan global.
Pengawal Pantai Jepun memberitahu, pihaknya telah melakukan pemantauan di zon berkenaan tanpa mematuhi peraturan Beijing dan laporan turut memberitahu bahawa Tentera Udara Jepun juga turut melakukan perkara yang sama.
"Kami tidak mengubah operasi kami dalam melakukan rondaan di kawasan yang sudah diisytihar oleh China. Kami juga tidak memberitahu mereka terlebih dahulu tentang apa yang dirancang, termasuk jadual penerbangan kami,'' kata jurucakap Pengawal Pantai Jepun, Yasutaka Nonaka kepada AFP.
Sementara itu, Tentera Korea Selatan memberitahu, tiada sebarang perkara berlaku apabila sebuah pesawat negara itu memasuki ruang udara berkenaan.
Kelmarin, dua buah pesawat pengebom AS terbang di zon tersebut sebagai memberi mesej penting dari Washington, sebelum lawatan Naib Presidennya, Joe Biden ke rantau berkenaan.
Kementerian Pertahanan China mempersoal kenyataan AS yang mengumumkan bahawa pihak tenteranya 'mengawal selia setiap tindakan' penerbangan pesawat jenis B-52 itu, tanpa berasa bersalah, marah atau kesal atas perbuatan itu.
Global Times yang mempunyai hubungan erat dengan Parti Komunis turut mengkritik China sebagai 'terlalu lambat' dalam keluarannya hari ini.
"Kita gagal memberi tindak balas yang betul dan tepat. Kerajaan harus bijak menangani serangan psikologi yang dilakukan oleh AS,'' kata Global Times- AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131129/lu_10/Jepun-Korea-Selatan-pula-bantah-tindakan-China#ixzz2m6Fr9QA1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment