Saturday, November 30, 2013

Kazim Elias kesal cemuhan pihak tidak bertanggungjawab


2013/11/30
KUALA LUMPUR: Penceramah terkenal, Mohammad Kazim Elias kesal dengan cemuhan yang dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab susulan pelantikan beliau sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO, semalam.

Sambil terkejut dengan pengumuman oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor itu, Kazim melahirkan kekecewaan terhadap cacian dan sindiran yang dilemparkan masyarakat seluruh negara.


“Alhamdulillah, salah ke kalau orang lain minta nasihat? Saya ini sentiasa berlapang dada, janganlah tuduh tanpa melihat secara halus. Apa yang kita sangka tentang orang lain kadang-kadang itulah dalam jiwa kita.

“Berhati-hatilah dalam berbicara. Apa tuan-tuan ingat saya kemaruk wang, kuasa pangkat? Apa salahnya doakan yang terbaik, bila tiada orang agama dikata teruk, bila orang agama dijemput pun dikata teruk, saya tak faham,” katanya dalam satu pesanan yang disiarkan menerusi laman Facebook milik beliau, Ustaz Mohd Kazim Elias.

Kazim dalam pesanan yang disiarkan itu turut menyebut bahawa beliau akan mengadakan sidang media khas kira-kira jam 9 malam di PPR Setapak, hari ini bagi memberi penjelasan mengenai pelantikan beliau sebagai ahli MT UMNO.

Sementara itu, mengulas mengenai persaraan beliau daripada menyampaikan ceramah, Kazim menegaskan bahawa beliau tidak akan berhenti menyampaikan ceramah dan berdakwah.

“Dakwah sangat luas cuma saya kata saya nak tumpu pada sekolah dan berdakwah dengan media seperti televisyen dan radio. Salah ke saya nak berdakwah di sekolah? Bacalah sampai habis apa yang saya beritahu dalam ceramah dan Facebook saya. Terlalu banyak yang jemput ceramah malah ada yang booking (tempah) bertahun, semua kena kira termasuk kesihatan saya,” katanya.

No comments:

Post a Comment