Saturday, November 30, 2013

Ibu pejabat tentera Thai diserbu

Ibu pejabat tentera Thai diserbuRibuan penyokong anti kerajaan berhimpun di pekarangan ibu pejabat Tentera Diraja Thailand.

BANGKOK - THAILAND . Kira-kira 1,500 penunjuk perasaan anti-kerajaan terdiri daripada kumpulan Baju Kuning semakin garang apabila nekad berhimpun dalam pekarangan ibu pejabat Tentera Diraja Thai di sini, semalam.

Protes mendesak penggulingan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra itu dilihat terus meruncing susulan tindakan berani mereka yang tidak menghiraukan amaran pasukan keselamatan.

Media melaporkan, ribuan peserta tunjuk perasaan juga bertindak memanjat pagar utama ibu pejabat berkenaan sambil membawa bendera dan meniup wisel.

“Kami mahu tahu pendirian tentera,” jerit seorang penunjuk perasaan.

Di daerah lain, kira-kira 1,000 orang berkumpul di luar ibu pejabat parti pemerintah Yingluck, sambil menjerit “Keluar!, keluar! “.

Bagaimanapun, keadaan reda selepas mereka bersurai tiga jam kemudian.

Sementara itu, pemimpin protes mega, Suthep Thaugsuban berkata, beliau sanggup mati kerana negara.

Sebelum ini, Thaugsuban, 64, sering dilihat memakai sut dan tali leher selaku Timbalan Perdana Menteri Thailand dan Eksekutif Kanan Parti Demokrat.

Kini, beliau menjauhkan dirinya daripada parti itu untuk menjadi pejuang jalanan.

“Saya berikrar menggulingkan Yingluck dengan mengambil alih setiap kementerian kerajaannya melalui perarakan mega. Jika kami tidak berjaya, saya sanggup mati dalam medan pertempuran. Rakyat akan berhenti hanya apabila kuasa negara berada di tangan mereka. Tidak perlu berunding lagi,” katanya.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon pula meluahkan kebimbangan terhadap protes itu.

Beliau menggesa semua pihak supaya menyelesaikan krisis terbabit melalui rundingan kedua-dua belah pihak.

“Semua pihak perlu menahan diri daripada menggunakan keganasan dan menunjukkan rasa hormat sepenuhnya terhadap kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia,” katanya dipetik dari laporan Reuters.

No comments:

Post a Comment