Thursday, January 23, 2014

Anak tak sekolah, suami menghilang

 SINAR HARIAN
22 Januari 2014
Anak tak sekolah, suami menghilang
Anak tak sekolah, suami menghilang Hamimah bersama anak-anak serta anak saudaranya yang berniaga jagung manis.



MACHAP - Hidup dalam serba kekurangan menyebabkan seorang ibu tidak dapat memberi pembelajaran sempurna kepada tiga anaknya.

Hamimah Mazlan,35, yang mempunyai lima anak tinggal menumpang di rumah pemilik tanah berbangsa Cina di Kampung Setia Jaya, di sini sejak 17 tahun lalu.

Beliau berkata, punca pendapatan hariannya hanya bergantung kepada jualan jagung dan nanas yang dijual di hadapan rumahnya.

Katanya, hasil pendapatan yang diperoleh dianggarkan RM350 sebulan untuk menampung kehidupannya lima beranak.

“Disebabkan kesempitan hidup, tiga anak saya yang berusia 16, 15 dan 13 tahun tidak dapat bersekolah kerana saya tidak mampu menampung kos perbelanjaan persekolahan mereka.

“Hanya anak keempat saya yang kini di darjah satu yang bersekolah kerana anak-anak yang lain ada membantu memberi wang kepada saya. Jika tidak, mungkin anak keempat saya juga tidak bersekolah,” katanya ketika ditemui di gerai jagung miliknya, di Kampung Setia Jaya, semalam.

Tambah menyedihkan Hamimah, beban tanggungannya semakin berat apabila suaminya yang merupakan warga Indonesia telah menghilangkan diri sejak tiga bulan lalu.

Katanya, suaminya keluar rumah tanpa pesanan dan sehingga kini tidak pernah menghubunginya.

“Saya runsing dan reda dengan apa yang berlaku. Kehidupan saya dan anak-anak perlu diteruskan. Saya juga berterima kasih kepada pemilik rumah yang saya tinggal sejak dahulu lagi kerana tidak pernah meminta bayaran sewa dan hanya perlu membayar elektrik dan bil air sahaja.

“Selepas hilang tempat bergantung, saya bersama anak mengusahakan perniagaan jagung manis. Hasil jualan itulah yang saya guna untuk perbelanjaan harian kami anak beranak,” katanya.

Hamimah berharap kesusahan yang dialaminya dapat dibantu oleh pihak yang berkaitan agar dapat meringankan beban yang ditanggungnya.

Beliau juga berharap suaminya akan pulang ke rumah kerana anak-anak masih memerlukannya.

Sementara itu, Ketua Kampung Setia Jaya, Sulaiman Salleh ketika diminta mengulas masalah yang dihadapi keluarga berkenaan berkata, pihaknya telah pun membuat tindakan sewajarnya.

“Kami akan cuba mencari suaminya dan jika telah balik ke negara asal, kita akan serahkan kepada jabatan agama untuk tindakan seterusnya.

“Kita akan cuba bantu anak-anak Hamimah ke sekolah semula,” katanya.

Dalam pada itu, masalah yang dihadapi keluarga berkenaan turut mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kluang yang menyalurkan sumbangan bagi membantu keluarga berkenaan.

No comments:

Post a Comment