Thursday, January 23, 2014

Bawa bapa tinggal di universiti


Guo Shijun, menyediakan makan malam untuk bapanya di bilik asrama universitinya di bandar Lu'an, wilayah Anhui, tenggara China, baru-baru ini. - Agensi
BEIJING 22 Jan. - Kasih seorang anak terhadap bapanya yang lumpuh membuatkan seorang mahasiswa di China sanggup membawa warga emas itu tinggal bersamanya di asrama universiti supaya dia boleh menjaga bapanya yang terlantar sakit.
Semua itu dilakukan Guo Shijun, 20, kerana dia tidak mahu mensia-siakan peluang untuk melanjutkan pelajarannya ke menara gading selepas mendapat keputusan cemerlang di sekolah menengah.
Untuk itu, Shijun terpaksa merayu kepada pihak universiti di bandar Lu'an, wilayah Anhui, tenggara China tersebut, untuk membenarkan bapanya yang lumpuh akibat jatuh daripada sebuah jambatan setinggi 15 meter, tinggal bersamanya di bilik asrama.
Permohonan Shijun akhirnya diluluskan selepas pihak universiti teruja dengan sikap bersungguh-sungguh yang ditunjukkan penuntut itu, sekali gus membuatkan Shijun membina sebuah katil khas untuk bapanya.
Bagaimanapun, Shijun bertuah kerana datuk dan neneknya bersedia untuk menjaga ibunya yang turut menghidap penyakit mental, namun kedua-duanya tidak sanggup untuk menjaga bapa pelajar itu.
Bagi meneruskan pengajiannya, Shijun meminjam wang daripada rakan-rakan dan saudara-mara bagi membayar yuran universiti berjumlah 19,942 yuan (RM10,935) setahun, tidak termasuk perbelanjaan untuk makan dan perubatan ibu bapanya.
Di sebalik kepayahannya itu, Shijun bertuah selepas permohonannya untuk mendapatkan biasiswa pelajaran diluluskan.
"Saya tidak boleh kata kehidupan itu sesuatu yang mudah, namun satu-satunya cara untuk keluar daripada masalah ialah dengan rajin bekerja. Perkara itu membuatkan saya berhenti merungut.
"Saya berpendapat, selepas menamatkan pelajaran nanti, semua cabaran saya ini akan menjadi lebih mudah,'' katanya mengulas mengenai pengalamannya itu. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140123/lu_10/Bawa-bapa-tinggal-di-universiti#ixzz2rAWxKqXj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment