Thursday, January 23, 2014

Tian Chua dipenjara sebulan, denda RM1,000

SINAR HARIAN
23 Januari 2014

TIAN CHUA

TIAN CHUA 


KUALA LUMPUR - Naib Presiden PKR, Tian Chua dipenjara sebulan dan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas didapati bersalah tuduhan melanggar arahan mengikut Perintah Kawasan Larangan, dua tahun lepas.

Hakim Mahmud Abdullah membuat keputusan itu terhadap Tian Chua atau nama sebenarnya  Chua Tian Chang, 51, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Berdasarkan pertuduhan, Ahli Parlimen Batu itu didakwa tidak mematuhi perintah pegawai polis iaitu DSP A Rajagopal untuk beredar dari kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan larangan mengikut Perintah Kawasan-Kawasan Larangan 1975.

Kesalahan itu didakwa berlaku di Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia (Pulapol), Jalan Semarak, di sini pada 2.30 pagi 29 April 2012.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 4(2) Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (Akta 298) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 7 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Amirah Mohamed Yusoff memohon hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh atas kapasitinya sebagai seorang ahli Parlimen.

Peguam Eric Paulsen memohon hukuman denda diberikan terhadap anak guamnya atas alasan ia adalah kesalahan teknikal yang tidak membawa apa-apa keuntungan kepada orang ramai dan tertuduh.

Sejurus keputusan diumumkan, Eric memohon penangguhan hukuman penjara ke atas Tian Chua kerana pihaknya akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara, bagaimanapun wang jaminan terhadapnya dinaikkan dari RM500 kepada RM1,000.

Sepanjang perbicaraan kes itu, seramai sembilan saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan.

No comments:

Post a Comment