2014/07/11
Washington: Agensi Keselamatan Negara (NSA) dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dilaporkan mengimbas secara rahsia e-mel lima penduduk Islam Amerika Syarikat terkemuka menurut program pemantauan rahsia kerajaan yang menyasarkan pengganas asing dan ancaman keselamatan lain.
Laporan dalam majalah The Intercept, oleh wartawan Glenn Greenwald, menyatakan sasaran termasuk peguam, tokoh politik Republican, profesor universiti dan dua aktivis hak.
Menurut majalah itu, semua lima tokoh berkenaan menafikan sebarang pembabitan dalam keganasan atau khianat dan tidak dituduh dengan sebarang bentuk jenayah. Majalah terbabit mempersoalkan sama ada kerajaan memperoleh kebenaran secara sah untuk melakukan pemantauan itu.
Menurut The Intercept, tiga bulan siasatan menggunakan dokumen sulit yang diperoleh daripada bekas penganalisis sistem NSA, Edward Snowden, menunjukkan sistem bagi membenarkan usaha pemantauan NSA memberikan kuasa luas kepada kerajaan dalam mengintip rakyat Amerika. Artikel turut menyatakan sebahagian material latihan kerajaan termasuk maki hamun terhadap penduduk Islam.
NSA dan pegawai Jabatan Kehakiman kelmarin menafikan aktivis Amerika menjadi sasaran kerana mengkritik kerajaan. Walaupun tidak membincangkan kes individu, pegawai berkata rakyat Amerika cuma menjadi sasaran pemantauan emel jika ada kes tertentu.
“Kenyataan agensi perisikan Amerika Syarikat mengendalikan pemantauan elektronik ke atas tokoh politik, agama atau aktivis hanya kerana mereka tidak bersetuju dengan dasar awam atau mengkritik kerajaan, atau mengamalkan hak Perlembagaan adalah palsu semata- mata,” kata NSA dan Jabatan Kehakiman dalam kenyataan bersama.
Namun Rumah Putih kelmarin mengarahkan agensi keselamatan menilai manual latihan dan dasar berikutan laporan dokumen latihan kerajaan 2005 mengandungi kecaman terhadap penduduk Islam.
“Sebaik mengetahui perkara ini, Rumah Putih segera meminta Pengarah Perisikan Negara menilai dasar Komuniti Perisikan, piawaian latihan atau arah yang mempromosikan kepelbagaian dan tolak ansur,” kata jurucakap keselamatan Rumah Putih, Caitlin Hayden.
Hayden berkata, penggunaan kecaman atau bahasa kurang sopan yang berunsurkan perkauman atau etnik tidak dapat diterima. Kerajaan mengarahkan penilaian serupa pada 2011 selepas beberapa tenaga pengajar latihan memberitahu peserta agensi keselamatan dan tentera penduduk Islam menyokong keganasan.
No comments:
Post a Comment