Saturday, July 12, 2014

Mahathir, saksikan kerja kamu semasa berkuasa dahulu


HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Penulis Aspan Alias mengucapkan selamat hari jadi yang ke-89 kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad dan berharap semoga dipanjangkan usia dan berada dalam kesihatan yang baik sentiasa, sambil menyaksikan hasil kerja beliau sendiri semasa berkuasa dahulu.

"Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya," tulis beliau di alam blognya ekoran keresahan Dr Mahathir terhadap kedudukan bangsa Melayu di dalam pembangunan Johor Baharu yang akan merupakan pembangunan fisikal yang begitu drastik seperti yang dirancang.

Berhubung pembangunan di Johor Baharu itu, beliau menyatakan kalau kata-kata semangat ‘Melayu tidak akan hilang di dunia’ itu sudah tidak boleh dipakai lagi, kerana ‘Melayu akan hilang dunianya’.

Berikut tulisan penuh beliau.

Saya terpanggil untuk memberikan pandangan tentang keresahan Dr Mahathir terhadap kedudukan bangsa Melayu di dalam pembangunan Johor Baharu yang akan merupakan pembangunan fisikal yang begitu drastik seperti yang dirancang. Pelan pembangunan Johor Baharu itu merupakan pelan pembangunan yang akan memberikan imej Johor Baharu sebagai New York dalam mana akan terdapat puluhan bangunan pencakar langit dengan ‘finishing’ struktur yang mahal-mahal dan akan membuatkan orang Melayu tertinggal ke belakang lebih jauh lagi.

Justeru ‘ultimate’ kita untuk melihat setiap bangsa duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi tidak akan tercapai dan Melayu akan berada dalam keadaan seperti 'itik kehausan dalam air' dan 'ayam mati dalam kepuk padi'. Bagi orang seperti saya tidak pula saya tahu pembangunan yang dirancang oleh kerajaan Johor itu mengambil kira isu ini kerana kestabilan politik negara kita besar penggantungannya kepada kedudukan bangsa Melayu yang merupakan bangsa yang terbesar di negara ini.

Najib yang secara tidak langsung telah mengaku dirinya sebagai seorang yang sangat berkepimpinan itu diharap berfikir panjang tentang apa yang hendak dilakukan itu, membuktikan kepimpinan beliau di sini. Pemimpin yang sebenarnya berkepimpinan akan berjaya mengimbangi kemajuan semua bangsa yang berada di dalam negara ini tetapi apa yang akan berlaku di Johor Baru adalah sebaliknya. Orang Melayu akan berundur jauh di sudut dunia nanti.

Saya ingin menarik perhatian ramai kepada kenyataan Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman, Timbalan Perdana Menteri semasa berucap dalam ucapan penggulungan perhimpunan agung Umno pada tahun 1972 dahulu. Perhimpunan itu merupakan perhimpunan agung yang terakhir yang beliau hadir sebelum beliau meninggal pada tahun 1973 dahulu. Orang yang masih hidup dan sihat yang berada bersama dalam Majlis Tertinggi Umno semasa itu ialah Tengku Razaleigh Hamzah sahaja. Dr Mahathir belum lagi diterima kembali kedalam UMNO dan beliau semasa itu berada di luar Umno setelah dipecat oleh Tunku Abdul Rahman pada tahun 1969.

Tun Dr Ismail telah memberikan alasan kenapa kerajaan tidak mahu bertindak untuk membangunkan negara dengan cepat sedangkan semasa itu kata beliau, kita mampu mungkin untuk mencapai pembangunan pesat sehingga sepantas ‘double-digit growth’. Tetapi adalah dalam perancangan kerajaan untuk memperlahankan pembangunan untuk mempastikan sudah ada persediaan bagi kaum-kaum yang ketinggalan dari semua sudut untuk bersama-sama menikmati pembangunan yang bakal kita lalui nanti.

Tun Dr Ismail bercakap dengan penuh kesedaran betapa perancangan yang teliti dilakukan bagi mempastikan negara dibangunkan dengan mengendung sekali matlamat untuk menjadikan kesaimbangan kedudukan semua bangsa yang dikatakan 'berdiri sama tinggi duduk sama rendah itu'. Pimpinan semasa itu memikirkan banyak perkara dan isu sebelum merancang pembangunan negara agar tidak menghasilkan kecelaruan kepada rakyat yang berbilang kaum ini. Perancangan semasa itu penuh dengan ‘wisdom’. Segala perancangan untuk rakyat dan negara itu telah difikirkan betul-betul dengan matlamat yang jelas dan laluan ke matlamat itu jelas dan telus.

Itu sebabnya dalam era tujuh puluhan selepas kematian Tun Dr Ismail kerajaan sesungguhnya melaksanakan impian kerajaan itu dengan sepenuhnya tanpa banyak memikirkan untuk kepentingan keluarga dan peribadi. Itu sebabnya pimpinan semasa itu mudah melaksanakan segala dasar kerana sifat mereka yang jujur terhadap tanggungjawab mereka yang hanya untuk negara.

Mempertimbangkan cara dan kaedah serta kepantasan pembangunan pun ditentukan dengan semangat dan jiwa untuk rakyat. Di samping membangunkan negara pimpinan semasa itu mengendung sekali tanggungjawab untuk tidak meninggalkan tanggungjawab terhadap bangsa yang ketinggalan yang kebetulan adalah di kalangan bangsa Melayu dan bumiputera.

Semua syarikat ‘public companies by guarantee’ yang kini dipanggil GLC bertanggungjawab untuk membangunkan perniagaan dan memegang perniagaan itu sebagai 'trustee' terhadap orang Melayu dan bumiputera. Dalam hujung tahun tujuh puluhan dan awal lapan puluhan syarikat-syarikat GLC yang maju itu dipindahkan kepada bumiputra yang masih belum berkemampuan untuk melalui saham amanah dan berbagai-bagai cara lagi.

Tetapi kini GLC diperguna oleh mereka yang rapat dengan kuasa untuk kepentingan beberapa kerat yang diberikan tanggungjawab untuk menguruskan syarikat-syarikat tersebut. Malahan GLC tidak pun memberikan manfaat kepada bumiputera sampai ke hari ini sejak tahun lapan puluhan dahulu. GLC hanya membentuk dan membina ego sebahagian kecil beberapa kerat individu yang dianggap professional dan dasar untuk memberikan faedah kepada orang Melayu dan bumiputera itu diabaikan sama sekali.

Sampai sekarang matlamat penyertaan orang Melayu dan bumiputera untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi itu tidak tercapai dan ia tidak mungkin  tercapai sampai bila-bila.

Pimpinan sedang menggila untuk melihat pembangunan sepesat negara-negara seperti AS dan Eropah tetapi anak watan tidak akan merasakan nikmatnya. Percayalah ia tidak akan membawa apa-apa faedah kepada kaum yang masih ketinggalan.

Sekarang Dr Mahathir yang perencana kepada pembangunan pesat yang telah mengabaikan nasib orang Melayu, merasa resah gelisah dan beliau harus mengakui yang sikap membangunkan negara tanpa perancangan untuk kepentingan rakyat itu bermula dari zaman beliau sendiri.

Sekarang beliau berkata benar dan menyalahkan beliau kerana membina sikap ini kepada beliau itu juga benar. Pembangunan di Johor itu tidak akan membawa orang Melayu dan anak watan kehadapan malahan ia akan mengundurkan Melayu dan bumiputra jauh ke belakang dalam jangka masa yang cepat dan tangkas.

Selepas ini orang Melayu akan hanya dapat berkata. Ooh! Ooh! Sahaja setiap hari. Orang Melayu apabila diberitahu ini pembangunan yang terpesat di rantau ini mereka akan hanya mampu berkata, ooh! Oh! sahaja.

Apabila diberitahu kepada orang Melayu yang melihat pembangunan itu hanya mampu dibeli dan didiami oleh orang kaya raya dari Singapura dan China sekali lagi orang Melayu akan hanya berkata, ooh! ooh! sahaja kerana itu sahaja yang mereka ada, iaitu 000.

Maka pembangunan pesat di Johor ini nanti merupakan permulaan kepada bangsa Melayu khususnya Melayu Johor untuk beransur-ansur masuk ke pinggiran hutan untuk memberikan laluan kepada mereka yang mendapat keistimewaan dari pihak pemerintah kita.

Kepada Dr Mahathir elok kita ingatkan satu perbilangan Melayu yang popular, ‘jika bapa kencing berdiri, anak akan kencing berlari’.

Selamat hari jadi yang ke 89 kepada Tun Dr Mahathir, semoga dipanjangkan usia dan berada dalam kesihatan yang baik sentiasa, sambil menyaksikan hasil kerja beliau sendiri semasa berkuasa dahulu. Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya.

Kalau kata-kata semangat ‘Melayu tidak akan hilang di dunia’ itu sudah tidak boleh dipakai lagi, kerana ‘Melayu akan hilang dunianya’.

No comments:

Post a Comment