Saturday, July 12, 2014

Mahkamah akan putuskan siapa Presiden Indonesia



DARI KIRI: Prabowo, Jokowi


JAKARTA - Ketua Polis Jakarta, Mejar Jeneral Dwi Priyatno memberi jaminan akan menghalang sebarang gerakan bagi meraikan kemenangan di jalanan.
Beliau membuat jaminan itu ekoran proses pengundian pilihan raya Presiden yang ketika ini masih gagal memberi petunjuk jelas mengenai calon yang bakal memenangi jawatan tersebut.
Pada pilihan raya yang berlangsung dengan lancar pada Rabu lalu, timbul kebimbangan bahawa akan berlaku pergolakan selepas dua calon pilihan raya Presiden iaitu Gabenor Jakarta, Joko Widodo dan bekas jeneral Tentera, Prabowo Subianto masing-masing mengisytiharkan kemenangan berdasarkan keputusan proses pengiraan undi cepat.
Situasi itu akan mencetuskan kebimbangan mengenai kestabilan politik di negara yang mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia dan negara yang mempunyai kuasa ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu.
Ia bukan sahaja boleh menghalang pertumbuhan ekonomi di negara tersebut, malah boleh menjejaskan perjalanan sistem demokrasi selepas beberapa dekad dibelenggu dengan pemerintahan autoritarian.
Widodo, 53, yang dikenali sebagai Jokowi kini mendahului dengan kelebihan 52 peratus undi, menurut tiga agensi pengiraan undi cepat tidak rasmi yang boleh dipercayai.
Prabowo bagaimanapun mendakwa beliau mendahului keputusan pilihan raya itu.
Beliau turut bersedia menerima sebarang pengumuman rasmi daripada suruhanjaya pilihan raya dalam masa dua minggu lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia telah memulakan pengiraan undi dan akan mengeluarkan keputusan rasmi pada 22 Julai depan.
Namun, jika calon pilihan raya Presiden itu mengemukakan bukti penipuan, Mahkamah Perlembagaan akan membuat keputusan siapa yang akan menjadi Presiden.
Hakim mahkamah itu akan mempunyai masa selama dua minggu untuk membuat keputusan selepas beliau menerima aduan tersebut.
Jokowi merupakan calon daripada Parti Demokratik Indonesia-Perjuangan (PDIP) yang tidak mempunyai kaitan dengan bekas Presiden Indonesia, Suharto yang memerintah selama 30 tahun sebelum meletakkan jawatan pada tahun 1998.
Prabowo, 62, berasal dari keluarga yang kaya dan berkahwin dengan anak perempuan Suharto.
Beliau dilihat sebagai lelaki yang mesra dengan penduduk dan mengetuai Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra). - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0712&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz37ChDWv2A 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment