Wednesday, July 23, 2014

Keganasan: Yazid, Muhammad Hilmi dibicara bersama


KUALA LUMPUR 22 Julai - Kes bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Yazid Sufaat yang didakwa menggalakkan keganasan di Syria dan pekerja kafeteria, Muhammad Hilmi Hasim yang dituduh bersubahat dengannya akan dibicarakan bersama di Mahkamah Tinggi di sini.
Hakim Datuk Mohd. Azman Husin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Shukor Abu Bakar pada sebutan kes itu hari ini.
Kes itu ditetapkan untuk sebutan sekali lagi pada 14 Ogos ini bagi membolehkan pertuduhan dibacakan semula ke atas kedua-dua tertuduh.
Kes terbabit dikembalikan ke Mahkamah Tinggi di sini untuk dibicarakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 16 Julai lalu membenarkan rayuan pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Pada 20 Mei 2013, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Yazid, 49, dan Muhammad Hilmi, 33, serta suri rumah, Halimah Hussein, 52, daripada pertuduhan berhubung kegiatan keganasan.
Mahkamah tersebut memutuskan demikian selepas mendapati Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan hanya terpakai bagi ancaman keganasan yang dituju kepada keselamatan dalam negeri oleh orang atau sekumpulan orang yang berada di dalam dan di luar Malaysia.
Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, pihak pendakwaan mengemukakan rayuan dan pada 18 Jun 2013, Mahkamah Rayuan memerintahkan kes tersebut dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan selepas panel tiga hakim yang diketuai Datuk Seri Abu Samah Nordin membenarkan rayuan pendakwa raya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140723/ma_03/Keganasan-Yazid-Muhammad-Hilmi-dibicara-bersama#ixzz38F0c1cFZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment