Wednesday, July 23, 2014

Pemisah akur permintaan Najib



BORODAI


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (gambar) yang semalam mengumumkan kerajaan berjaya mencapai satu perjanjian dengan kumpulan pejuang pemisah pro-Rusia di timur Ukraine, menarik perhatian pemimpin-pemimpin lain di seluruh dunia.
Persetujuan itu membabitkan pengurusan mayat mangsa-mangsa MH17, penyerahan kotak hitam dan akses kepada pasukan ke kawasan lokasi nahas.
Kejayaan itu dicapai ketika kuasa-kuasa besar dunia gagal untuk melaksanakan permintaan Malaysia itu.
Akhbar New York Times melaporkan, Najib pada sidang akhbar semalam berkata, satu perjanjian dicapai dengan komander pemisah di Donetsk, Alexander Borodai untuk membawa mayat-mayat penumpang MH17 yang kini ditempatkan di dalam sebuah kereta api yang akan bergerak ke bandar Kharkiv yang dikuasai kerajaan Ukraine.
Seramai enam wakil Malaysia akan menyelia penyerahan mayat tersebut kepada pihak kerajaan Belanda setiba kereta api itu di Kharkiv.
Berdasarkan perjanjian tersebut, mayat-mayat mangsa nahas MH17 dan wakil-wakil Malaysia akan diterbangkan ke Belanda dengan menaiki pesawat C-130 Hercules sebelum proses pengecaman serta penghantaran pulang mayat mangsa-mangsa dilakukan mengikut negara masing-masing.
Dua kotak hitam milik pesawat berkenaan juga akan diserahkan kepada wakil Malaysia di Donetsk yang merupakan pangkalan kumpulan pejuang pemisah.
Para penyiasat bebas antarabangsa juga diberi jaminan keselamatan masuk ke lokasi nahas untuk memulakan siasatan.
Jika semua pihak menghormati perjanjian tersebut, ia dianggap sebagai satu kejayaan diplomatik buat Malaysia.
Najib memberitahu, dalam tempoh beberapa hari lalu, beliau sebenarnya mahu bercakap berterus-terang berhubung kejadian yang sedang berlaku di Ukraine.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0723&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz38F8r1qX0 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment