Wednesday, July 23, 2014

Ukraine lancar serangan dekat lokasi nahas


REUTERS
SEORANG penyiasat Malaysia memeriksa serpihan pesawat MH17 dekat Grabovo, timur Ukraine semalam.


KIEV - Tentera Udara Ukraine melancarkan beberapa serangan peluru berpandu dalam lingkungan 30 kilometer (km) dari lokasi pesawat Malaysia MH17 terhempas sekali gus mencabuli ruang gencatan senjata seluas 40 kilometer, lapor agensi berita Ria Novosti.
Kelmarin, Presiden Ukraine, Petro Poroshenko mengarahkan satu gencatan senjata merangkumi kawasan 40km dari lokasi pesawat MH17 terhempas di wilayah Donetsk.
Sekitar pukul 11.30 pagi waktu tempatan, dua jet Su-25 milik tentera Ukraine dilihat berada di ruang udara bandar Shakhtersk yang terletak 30km dari lokasi nahas.
Beberapa peluru berpandu kemudian mengenai sebuah padang dekat bandar berkenaan dengan satu peluru tersebut meletup pada jarak 200 meter dari sebuah pos kawalan, menurut seorang wartawan agensi berita Ria Novosti.
Sebuah kawah dilihat terbentuk di lokasi serangan tetapi setakat ini masih belum ada laporan sama ada kemalangan jiwa berlaku.
Dalam pada itu, pakar-pakar Belanda tiba di Ukraine untuk memeriksa sebuah kereta api yang menyimpan sejumlah mayat mangsa tragedi MH17.
Mereka kemudian akan melakukan siasatan bersama beberapa pakar Malaysia yang telah berada di lokasi nahas.
Menurut militia pemisah pro-Rusia, sekumpulan 12 pakar dan pegawai Malaysia menyaksikan sendiri serangan artileri tentera Ukraine ketika mereka dalam perjalanan ke Donetsk kelmarin.
Pesawat jenis Boeing 777-200 itu terhempas di wilayah Donetsk pada 17 Julai lalu dipercayai akibat ditembak dengan peluru berpandu.
Seramai 298 penumpang dan kru MH17 terkorban manakala pihak berkuasa di Kiev menuduh kumpulan pemisah pro-Rusia bertanggungjawab melancarkan serangan tersebut.
Pesawat itu dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ditembak jatuh pada Khamis lalu.
Namun, militia-militia pro-Rusia mendakwa bahawa mereka tidak memiliki sistem peluru berpandu yang berupaya untuk menembak jatuh pesawat itu yang terbang pada ketinggian 10,000 meter. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0723&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz38F5FxlL1 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment