• MH17

KIEV - Selepas kelewatan tiga hari, tiga penyiasat bertauliah dari Malaysia dijangka tiba di kawasan nahas pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 di Torez, timur Ukraine pada Selasa.
  
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, ketiga-tiga wira itu terdiri daripada dua jurutera kanan dan seorang bekas juruterbang.
  
Tiong Lai berkata, mereka ialah pengarah kanan bantuan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Kapten Philip Joseph Selvaraju (bekas juruterbang), 42, pengarah kanan bantuan DCA Mohd Naemy Fahmy Mustapa, 38, dan pengarah Kejuruteraan dan penyelenggaraan MAS, Azhari Mohd Dahlan, 53.
  
Beliau berkata, Azhari mempunyai pengalaman kerja selama 32 tahun dalam bidang kejuruteraan, Kapt Philip mempunyai pengalaman kerja selama 16 tahun dalam bidang aero angkasa dan Mohd Naemy, yang juga bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia mempunyai pengalaman selama enam tahun dalam bidang kejuruteraan.
  
"Kejayaan Malaysia menghantar penyiasatnya ke kawasan nahas dicapai selepas kerajaan berunding dengan Pertubuhan bagi Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE) dan beberapa kumpulan pemisah," kata beliau kepada wartawan Malaysia di sini semalam.

Pesawat Malaysia Airline penerbangan MH17, sedang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia ditembak jatuh di Donetsk, di timur Ukraine dekat sempadan Rusia pada Khamis.
  
Pesawat Boeing 777-200 itu membawa 298 orang - 283 penumpang dan 15 kru.
  
Laporan media asing menyebut bahawa pesawat ditembak jatuh tetapi sehingga sekarang, tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap insiden itu.
  
Tiong Lai berkata, ketiga-tiga mereka akan diterbangkan ke Kharkev, sebuah daerah dekat Donetsk, pada pukul 8 malam dan mereka akan bermalam di sana.
  
Pada keesokan hari, beberapa pegawai OSCA akan datang untuk mengiringi mereka dengan menaiki kereta perisai ke Usim, satu lagi lokasi sebelum mereka diserahkan kepada kumpulan pemisah, kata beliau.

Tiong Lai berkata, dari sana, satu kumpulan pemisah akan membawa mereka dengan menaiki kereta perisai untuk masuk ke Donetsk dan kemudian satu lagi kumpulan pemisah akan mengiringi mereka ke kawasan nahas di Torez.
  
"Perjalanan dalam kereta perisai itu akan mengambil masa lima jam. Walaupun diiringi, ia tidak menjamin 100 peratus keselamatan mereka," kata beliau.
  
Mengenai usaha mengumpul 233 mayat penumpang MH17, Liow berkata Presiden Ukraine Petro Poroshenko memberi jaminan untuk mempercepatkan proses dan memindahkan semua mayat ke dalam gerabak peti sejuk untuk dibawa ke Kiev.
  
"Tetapi beliau tidak menyatakan tempoh masa bila gerabak kereta api yang membawa mayat itu akan tiba," kata beliau. - Bernama