• MH17

SHAH ALAM - Ketika semua pemimpin sibuk menuding jari berhubung nahas MH17, Malaysia berjaya mendapatkan dua kotak hitam MH17 dan mayat penumpang melalui rundingan sulit dengan kumpulan pemisah Ukraine.

Melalui laporan media Australia, Sydney Morning Herald (SMH), Datuk Seri Najib Tun Razak dikatakan begitu berhati-hati mengelak untuk menuduh kumpulan pemisah Ukraine menembak jatuh MH17.

Malah melalui rundingan sulit itu, Malaysia bukan saja berjaya mendapatkan dua kotak hitam MH17 malah mendapat jaminan bahawa penyiasat antarabangsa boleh memasuki kawasan nahas dengan selamat.

“Melalui persetujuan dengan ketua kumpulan pemisah Ukraine, Alexander Borodai, mayat penumpang akan diterbangkan oleh pesawat Dutch C-130 Hercules dengan wakil Malayisa ke Belanda untuk pengecaman.

“Persetujuan itu juga membolehkan penyiasat antarabangsa memasuki kawasan nahas dengan selamat,” lapor portal itu.

SMH juga menyebut tentang kritikan yang diterima Najib ekoran gagal menyalahkan kumpulan pemisah Ukraine secara langsung.

“Tetapi, sebaliknya dia membuat beberapa siri panggilan telefon secara sulit dengan Borodai  yang dipercayai berkata hanya akan menyerahkan mayat dan kotak hitam kepada Malaysia,” lapor portal itu lagi.

Sementara itu, sebuah lagi media Australia, The Austalian melaporkan tentang penyerahan dua kotak hitam tersebut yang berlaku selepas perbincangan lebih sejam.

“Dua kotak hitam diserahkan selepas dua jam perbincangan di mana percubaan sebelum itu gagal. Ia tidak jelas mengapa mereka tidak lulus lebih awal.

“Pasukan pakar Malaysia dan wakil kumpulan pemisah kemudian menandatangani protokol sebelum kotak tersebut diserahkan,” lapor portal itu.

Sebelum ini, Najib dilaporkan tetap dengan pendirian bahawa Malaysia tidak akan menyalahkan mana-mana pihak walau pesawat MH17 dipercayai ditembak jatuh.

“Sekalipun ia dipercayai ditembak jatuh namun buat masa ini kita tidak menuding jari pada mana-mana pihak atas perbuatan itu sehinggalah bukti benar-benar sahih dapat disahkan.

“Walau apa pun kita mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berhati perut, tidak bertamadun, perbuatan ganas dan tidak bertanggungjawab itu,” katanya.

Seramai 43 warganegara Malaysia merupakan antara 298 penumpang penerbangan MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur bila ia dipercayai ditembak jatuh di wilayah Donetsk.
 
Pesawat itu meninggalkan Amsterdam pada Khamis 12.15 tengah hari (waktu Netherlands) dan sepatutnya tiba di Kuala Lumpur pada 6.10 pagi (waktu Malaysia) hari Jumaat.