WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Julai 2014
PASIR GUDANG - Kenyataan penasihat undang-undang Umno, Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mendakwa Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, tidak sesuai menjadi Menteri Besar Selangor kerana mengalami uzur syarie adalah satu diskriminasi terhadap wanita.
Ketua Wanita PKR Johor, Natrah Ismail berkata, jantina tidak sepatutnya menjadi ukuran untuk menjadi seseorang pemimpin, sebaliknya kebolehan dan kepentingannya kepada kebajikan rakyat yang seharusnya diutamakan.
Menurutnya, tugas seorang Menteri Besar bukan semata-mata untuk mengiringi Sultan atau pembesar, tetapi khidmat yang boleh diberikan kepada rakyat sepatutnya dipersoalkan.
“Kita bantah kenyataan yang dikeluarkan oleh Mohd Hafarizam. Kenyataan sedemikian melambangkan diskriminasi yang cuba dibuktikan oleh Umno terhadap wanita.
“Pendapat itu terlalu kuno kerana bukan soal uzur syarie yang sepatutnya diperbesarkan, tapi lihat peranan yang boleh dimainkan oleh wanita dalam masyarakat dan negara,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung PKR, Steven Choong berkata, peluang untuk wanita dan golongan muda dalam PR tanpa sebarang diskriminasi menjadi punca ramai orang muda menyertai pembangkang.
Katanya, tindakan wakil Umno mengeluarkan kenyataan sedemikian melambangkan rasa tidak hormat terhadap kaum wanita.
“Wanita dalam Barisan Nasional (BN) jangan fikir atau bermimpi untuk menjadi Menteri Besar atau Perdana Menteri kerana mereka tak akan diberi peluang sama rata.
“Sedangkan dalam PR kita memberi peluang yang cukup luas kepada wanita dan orang muda yang berkebolehan untuk memegang jawatan penting dalam parti,” katanya.
No comments:
Post a Comment