Thursday, August 28, 2014

Akta Hasutan: Polis ambil keterangan Rafizi, Surendran


KUALA LUMPUR 27 Ogos - Dua pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini dipanggil polis bagi memberi keterangan mengikut Akta Hasutan 1948 ekoran memberi kenyataan yang disifatkan mampu menggugat keharmonian masyarakat di negara ini.
Rafizi Ramli yang juga Pengarah Strategi PKR hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang kira-kira pukul 3.50 petang berhubung satu kenyataan di akhbar The Edge awal Februari lalu.
Ahli Parlimen Padang Serai, N. Surendran pula ditahan selepas memberi keterangan di Balai Polis Pudu berhubung kenyataan yang menuduh pihak penghakiman kes Liwat 2 membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim di bawah telunjuk Putrajaya, baru-baru ini.
Surendran bagaimanapun kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan ketika ditemui memberitahu, beliau dipanggil untuk memberi keterangan setelah salah satu bahagian UMNO Selangor membuat laporan polis terhadapnya tentang isu perkauman dan agama yang dinyatakannya dalam akhbar The Edge.
Katanya, ketika itu, kedua-dua isu berkenaan sedang hangat diperkatakan pada akhir tahun lalu dan Januari.
"Saya memberi amaran tentang wujudnya perancangan menggunakan isu perkauman dan agama bagi mewujudkan ketidakstabilan kaum di Selangor.
"Saya mendapat maklumat bahawa saya akan menjadi orang terakhir yang dipanggil untuk memberi keterangan berhubung isu ini sebelum kertas siasatan disiapkan. Mungkin saya akan didakwa satu atau dua minggu lagi," katanya.
Dalam pada itu, beliau mendakwa, penggunaan Akta Hasutan 1948 dalam kes tersebut adalah bersifat politik kerana tiada keperluan undang-undang tersebut digunakan terhadapnya.
"Ahli politik selalu membuat kenyataan sebegitu dan pasti ada yang akan bersetuju atau tidak. Sekalipun kenyataan itu tidak benar, cara terbaik adalah menyaman atau menjawab sahaja isu tersebut, bukannya menggunakan Akta Hasutan.
"Keadaan sekarang tiada keperluan undang-undang itu digunakan apatah lagi untuk menjawab persoalan politik. Ini adalah cara UMNO untuk menggunakan polis dan pihak berkuasa. Jika tidak bersetuju, saman sahaja," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140828/je_02/Akta-Hasutan-Polis-ambil-keterangan-Rafizi-Surendran#ixzz3BdsmEEG7
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment