Thursday, August 28, 2014

Arab Saudi siap sedia sambut jemaah haji

Sebahagian daripada 256 imam dan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Dan Kemajuan Kampung (JKKK) dari seluruh negara berlepas ke Madinah semalam.
 
MADINAH: Kerajaan Arab Saudi melaksanakan pelbagai penambahbaikan bagi jemaah haji tahun ini termasuk memperluas kawasan ketibaan jemaah haji di lapangan terbang dan memasang sistem penyaman udara untuk keselesaan mereka.

Konsul Jeneral Malaysia di Arab Saudi Mohd Khalid Abbasi Abdul Razak berkata kerajaan Arab Saudi juga membawa masuk 9,000 bas baharu untuk membawa jemaah dalam keadaan selesa.

Di Madinah, dalam usaha untuk membantu 1.4 juta jemaah haji luar negara, kerajaan Arab Saudi menubuhkan kumpulan sukarela sebagai 'jurupandu' yang berkebolehan bertutur antara tujuh dan lapan bahasa asing, katanya kepada media Malaysia selepas menyambut ketibaan kumpulan pertama 450 jemaah haji Malaysia di Anwar Al Madinah Movenpick Hotel di sini, Rabu.

Bagi memudahkan jemaah warga emas di Madinah, kerajaan Arab Saudi turut memperkenal perkhidmatan 'buggy' untuk membawa mereka dari pintu masuk Masjid Nabawi hingga ke pintu masjid, dan ini akan memanfaatkan 31 peratus daripada 2,320 jemaah haji Malaysia yang berumur 65 tahun ke atas.

Beliau turut menzahirkan penghargaan Malaysia kepada pelbagai usaha yang dijalankan kerajaan Arab Saudi bagi memastikan keselesaan jemaah tahun ini.

Mohd Khalid berkata program pembesaran di Masjid Nabawi di sini akan meningkatkan kapasiti jemaah daripada 800,000 orang sekarang kepada 1.2 juta apabila ia siap tahun depan.

Masjid itu dilengkapi dengan permaidani baharu selain bekalan air zam-zam tanpa henti dari Makkah, katanya.

Menurutnya di Masjidilharam di Makkah, kerajaan Arab Saudi turut melaksanakan program pembesaran di ruang solat, tandas, kemudahan dan sekuriti.

Beliau berkata kerajaan Arab Saudi di bawah kepemimpinan Raja Abdullah melaksanakan projek pembangunan yang agresif di Tanah Suci dalam usaha untuk menampung jemaah yang semakin meningkat.

Selain itu, dengan siapnya landasan kereta api penumpang berkelajuan tinggi pertama antara Makkah dan Madinah (Kereta api Berkelajuan Tinggi Harmain), ia memendekkan masa perjalanan dan mengatasi kesesakan trafik pada musim haji.

Landasan sepanjang 480 kilometer itu, yang melalui bandar raya Jeddah, memendekkan masa perjalanan antara Makkah dan Madinah kepada dua jam daripada empat jam sekarang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment