Thursday, August 28, 2014

Putin, Poroshenko bincang isu pemberontakan


Vladimir Putin (kiri) dan Petro Poroshenko berjabat tangan semasa satu pertemuan di Minsk, Belarus, kelmarin. - AFP
MINSK, Belarus 27 Ogos - Presiden Ukraine, Petro Poroshenko berjanji untuk menyediakan pelan gencatan senjata bagi menamatkan konflik pemberontakan di timur negara itu, selepas beliau mengadakan perbincangan buat kali pertama dengan rakan sejawatnya dari Rusia, Vladimir Putin, di sini malam tadi.
Selepas mengadakan pertemuan secara bersendirian dengan Putin selama dua jam, Poroshenko menyifatkan perbincangan tersebut sebagai sukar dan rumit kerana beliau masih belum pasti sama ada kumpulan pemberontak pro-Rusia sedia menerima usul gencatan senjata selain tempoh perjanjian itu dipersetujui dan dipatuhi.
Namun dalam satu kenyataan terbuka, Poroshenko menuntut penghantaran senjata dari Rusia kepada kumpulan pemisah dihentikan selain mempertahankan pelan damai yang dikemukakan pada Jun lalu apabila pemberontak di tenggara wilayah Donbass yang menerima usul terbabit, meletak senjata dan meninggalkan negara itu dengan selamat.
"Satu pelan gencatan senjata akan disiapkan secepat mungkin dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
"Syarat utama untuk kestabilan di Donbass adalah menguatkuasakan kawalan secara berkesan di sempadan Ukraine-Rusia dan langkah itu penting untuk menghentikan penghantaran senjata kepada kumpulan pemberontak," katanya.
Dalam pada itu, Putin menyifatkan pertemuan beliau dengan Poroshenko sebagai petanda positif tetapi menegaskan bahawa Rusia tidak terlibat dalam merencanakan syarat gencatan senjata antara kerajaan Kiev dan kumpulan pemberontak di dua wilayah timur Ukraine.
Putin berkata, beliau dan Presiden Ukraine tidak berbincang tentang syarat-syarat perjanjian antara Kiev, Donetsk dan Luhanks kerana itu bukan urusan Moscow.
"Segalanya terpulang pada Ukraine sendiri untuk menetapkan syarat.
"Rusia hanya boleh mewujudkan persefahaman antara kedua-dua pihak dan bagi saya, peranan itu sangat penting dalam proses rundingan," katanya. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140828/lu_05/Putin-Poroshenko-bincang-isu-pemberontakan#ixzz3BdkwpqzJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment