Thursday, August 28, 2014

Jemaah haji mula berangkat ke Arab Saudi


Seorang jemaah haji dari Kashmir memeluk ahli keluarganya sebelum berangkat ke Mekah, Arab Saudi bagi menunaikan haji di Srinagar, India, semalam. - AGENSI
MEKAH 27 Ogos - Sebahagian daripada 1.3 juta jemaah haji asing hari ini berlepas dari negara masing-masing menuju ke Jeddah, Arab Saudi bagi menunaikan ibadah haji tahun ini.
Laman web, bangkokpost.com melaporkan, seramai 400 orang jemaah haji pertama Thailand meninggalkan negara menerusi Lapangan Terbang Narathiwat dalam dua fasa penerbangan.
Fasa pertama penerbangan melibatkan 281 jemaah yang berlepas pada pukul 10.41 pagi ini, manakala penerbangan kedua ke Jeddah untuk 296 jemaah haji berlepas pada pukul 4.25 petang.
Setiausaha Agung Majlis Keamanan dan Ketenteraman Nasional Thailand (NCPO), Jeneral Udomdet Sitabut dan Gabenor Narathiwat, Nattapong Sirichana turut berada di lapangan terbang tersebut bagi mengucapkan selamat jalan kepada para jemaah.
Dalam pada itu, laman web, thefinancialexpress-bd.com melaporkan, penerbangan pertama haji membabitkan seramai 419 jemaah Bangladesh berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal di Kurmitola, Dhaka hari ini.
Perdana Menteri, Sheikh Hasina merasmikan penghantaran seramai 49,378 jemaah haji dari Bangladesh di Kem Haji di Ashkona semalam yang menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangan Biman Bangladesh Airlines yang beroperasi hari ini sehingga 28 September nanti.
Dalam perkembangan sama, kumpulan jemaah haji pertama dari Jammu dan Kashmir meninggalkan Srinagar hari ini dalam satu penerbangan terus ke Madinah, Arab Saudi.
Seramai 275 jemaah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Srinagar menggunakan khidmat penerbangan Air India hari ini.
Tahun ini, seramai 7,007 jemaah haji dari Jammu dan Kashmir dijadual ke Mekah bagi menunaikan rukun Islam kelima itu.
Selain itu, Indonesia menghantar 318 orang petugas haji hari ini melibatkan kakitangan Kementerian Agama dan Kementerian Kesihatan yang bakal ditempatkan di Jeddah dan Madinah.
Jemaah haji Indonesia yang lain dijadual berangkat ke Arab Saudi bermula 1 September ini menggunakan sembilan lapangan terbang berbeza antaranya di Jakarta, Solo, Batam, Makassar dan Lombok.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140828/lu_04/Jemaah-haji-mula-berangkat-ke-Arab-Saudi#ixzz3BdkmnsTh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment