Thursday, August 28, 2014

Cacat penglihatan tidak lenyap impian Imam Basori tunai haji



MADINAH: Cacat penglihatan akibat kemalangan di tempat kerja 10 tahun lepas tidak pernah melenyapkan impian Imam Basori Mukadji, 45, untuk menunaikan haji.
Azamnya untuk ke Tanah Suci begitu kental sekalipun hanya baru dapat menyimpan RM6,000 di Tabung Haji (TH), sedangkan kos untuk mengerjakan haji minimum RM9,980.
"Mujurlah ada rakan-rakan sedia menghulur sumbangan hingga simpanan mencukupi," kata Imam Basori kepada media Malaysia ketika tiba di pusat penginapannya di Maktab Zon Dua di Hotel Anwar Al Madinah Movenpick di sini, hari ini.
Beliau yang menjual minyak wangi secara kecil-kecilan dan mengajar kanak-kanak berenang di Kolam Renang Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur, telah mendaftar dengan TH sejak 2007 dan akhir tahun lepas mendapat surat tawaran ke Tanah Suci dari badan pengendali haji itu.
Namun, ada lagi hal yang perlu diatasi sebelum dapat ke Tanah Suci.
Sebagai seorang cacat penglihatan, beliau diperlukan membawa pengiring bagi memudahkan beliau bergerak ke sana sini.
Rupanya, memang takdir beliau akan menjadi tetamu Allah. Imam Basori berjaya mendapatkan seorang rakan, Fakhrulrazi Hamsin, 44, menjadi pengiringnya.
"Saya merasa sebak, sedih dan bersyukur kerana akhirnya dapat menjejak kaki di Tanah Suci," katanya yang berasal dari Johor dan kini tinggal di Bandar Tun Razak.
Imam Basori berkata, walaupun beliau tidak dapat melihat tetapi dapat merasai "cahaya" Tanah Suci sebaik tiba di pusat penginapannya, kira-kira 50 meter dari Masjid Nabawi.
Bagi tiga wanita dari Bagan Serai Perak, panggilan haji merapatkan hubungan mereka yang sebelum ini tidak mengenali satu sama lain.
Ramlah Hassan, 56; Cheyah Sulaiman, 68; dan Junaidah Salleh 57, mula berkenalan satu sama lain semasa menjalani kursus haji di tanah air dan kemudian bersepakat mengerjakan haji bersama.
Cheyah dan Junaidah telah kematian suami, sementara Ramlah pula tidak membawa bersama suaminya.
Sambutan ketibaan jemaah haji oleh TH di Maktab Zon Dua Hotel Anwar Al Madinah Movenpick begitu menyentuh perasaan tiga rakan ini, lebih-lebih lagi ini kali pertama mereka ke Tanah Suci.
- BERNAMA



No comments:

Post a Comment