WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT . Masalah teknikal menyebabkan ujian senjata hipersonik terbaharu milik Amerika Syarikat (AS) gagal dalam misi pertama peluncurannya, semalam.

Difahamkan, senjata itu musnah dengan sendirinya sejurus dilepaskan ke udara.

Jurucakap Pentagon Maureen Schumann berkata, senjata dikenali sebagai Advanced Hypersonic Weapon itu dibangunkan oleh Sandia National Laboratory dan Pentagon.

"Kami terpaksa menamatkan misi ini kerana ia meletup ketika berlepas dan jatuh kembali di kompleks ujian,” katanya.

Menurutnya, misi ini adalah program ciptaan peluru berpandu yang boleh memusnahkan sasaran dari mana-mana kawasan di dunia dalam masa sejam. Penganalisis Pertahanan Carnegie Endowment, James Acton berkata, misi itu adalah untuk bersaing dengan senjata milik China selepas negara itu melakukan ujian sistem hipersonik pada Januari lalu.

"AS tertekan dengan China. Perkara itu menyebabkan mereka berusaha keras mencipta senjata yang lebih bagus tetapi AS menemui kegagalan," katanya menurut laporan Press TV.