Sunday, August 24, 2014

Fasa kedua jejak bangkai MH370 di dasar laut


Oleh Baharom Bakar

Kuala Berang: Di sebalik kesedihan negara dan ahli keluarga mangsa tragedi MH17, usaha pencarian pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang sejak Mac lalu tetap diteruskan kerajaan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata, usaha pencarian pesawat penerbangan MH370 fasa kedua yang akan bermula minggu depan akan teralih kepada pengesanan bangkai pesawat di dasar laut.

Katanya, tumpuan pencarian pesawat penerbangan MH370 yang hilang bukan saja ditumpukan di Lautan Hindi, sebaliknya di tiga lokasi yang akan diputuskan minggu depan.

“Saya bersama Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin diberi mandat kerajaan ke Australia bagi membincangkan kaedah terbaru pencarian MH370.

“Ketika berada di negara itu, rombongan akan ke Pusat Penyelarasan Bersama Agensi (JACC) serta pejabat Biro Keselamatan dan Pengangkutan Australia (ATSB) untuk mendengar taklimat terkini tumpuan pencarian MH370 akan dilakukan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis rumah terbuka sempena sambutan Aidilfitri peringkat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Perumahan Kampung Tok Randok, dekat sini, semalam.

Jailani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan, Komunikasi dan Media misi berkenaan berkata, usaha pencarian MH370 fasa kedua akan dilakukan di tiga lokasi dan tumpuan pencarian akan dilakukan di dasar laut.

“Jika pencarian fasa pertama, usaha pengesanan hanya dilakukan melalui udara dan permukaan air, tapi kerajaan bersetuju dengan cadangan JACC dan ATSB supaya tumpuan fasa kedua dilakukan di dasar laut,” katanya yang enggan mengumumkan tiga lokasi pencarian yang baru akan dilakukan.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/24

No comments:

Post a Comment